Tak wajib tapi digalakkan pakai pelitup muka di PPS - Nadma
Pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir kini akan beroperasi pada kapasiti penuh manakala pemakaian pelitup muka ketika di PPS tidak diwajibkan sebaliknya digalakkan, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) Nadma Meor Ismail Meor Akim berkata ia antara ketetapan yang diputuskan agensi itu bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 yang dijangka bermula November ini hingga Mac 2023.
Beliau berkata aktiviti memasak secara gotong-royong juga telah dibenarkan di PPS bagi membolehkan mangsa banjir mendapat makanan yang baik dan segar.
“Untuk pemakaian pelitup muka, kita galakkan mereka yang berada di PPS untuk pakai bagi mencegah penularan Covid-19 tetapi tiada paksaan,” katanya kepada pemberita pada Program Agensi-Agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana bersama Media di Markas Smart, Pulau Meranti dekat Putrajaya hari ini.
Berikutan pandemik Covid-19 melanda negara sejak dua tahun lepas, kapasiti PPS telah dihadkan mengikut keluasan supaya tidak terlalu padat pada satu masa selain sebarang aktiviti memasak secara gotong-royong dilarang di PPS ketika bencana banjir dengan makanan ketika itu hanya dibekalkan secara bungkus.
Pada 7 Sept lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu namun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.
Musim MTL kebiasaannya mengakibatkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar terutama di negeri-negeri pantai timur.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) meramalkan MTL 2022/2023 bermula pada November 2022 hingga Mac 2023.
Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wan Noraidah Wan Mohd Zain berkata pek makanan sedia untuk dimakan menggunakan teknologi retort akan dibekalkan untuk mangsa banjir di PPS.
“Makanan dalam bentuk retort ini mudah disimpan di depoh dan mangsa banjir akan dapat makanan segera dalam tempoh 24 jam. Mereka hanya perlu rendam makanan itu dalam air dan ia boleh terus dimakan,” katanya.
Sebagai persediaan menghadapi MTL, beliau berkata JKM akan menjadikan PPS sebagai pangkalan hadapan iaitu lokasi penyimpanan makanan.
“Sebelum bencana kita telah hantar bekalan makanan dan barang kebersihan terlebih dahulu… apabila banjir, kita telah siap sedia,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai