Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mesyuarat 5 pemimpin tertinggi Umno ditangguh

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa mesyuarat yang seharusnya melibatkan lima pemimpin tertinggi Umno telah ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baru dan sebab yang dimaklumkan.

Pada majlis di Hotel Majestik di Kuala Lumpur malam ini, Ismail memberitahu media bahawa pertemuannya untuk membincangkan tarikh pilihan raya umum (PRU).

"Sudah postpone (tangguh). Tak jadi. Ditangguhkan. Hari Sabtu ini mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) khas sepatutnya, tapi dah ditangguhkan. Jadi kita tunggu date (tarikh baru)," kata Ismail yang juga ahli parlimen Bera.

“Setiausaha agung parti (Ahmad Maslan) akan mengumumkan tarikh itu,” tambahnya.

Ditanya sebab penangguhan itu, Ismail berkata dia sendiri tidak pasti.

“Kena tanya SU (setiausaha agung) lah. Saya pun tak pasti. Dapat mesej tangguh,” katanya.

Terdahulu hari ini, Ismail berkata keputusan sama ada Umno akan berunding atau tidak dengan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang akan dibuat oleh MKT Umno.

“Kebaikan dan keburukan berunding dengan PAS akan dibincangkan hanya jika perkara itu dibangkitkan pada mesyuarat MKT Umno yang dijadualkan berlangsung akhir bulan ini.

“Umno bukan saya, Umno adalah parti. Jadi, parti kena buat keputusan. Pandangan saya tidak penting. Apa yang penting ialah bagaimana parti melihatnya. Ia akan diputuskan melalui perbincangan melibatkan MKT,” katanya kepada pemberita hari ini.