Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hakim perlu taat kepada perlembagaan

Hakim-hakim perlu taat kepada Perlembagaan Persekutuan dan tegas dalam menjunjung kedaulatan undang-undang pada semua keadaan, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tun Mat dalam ucapannya pada prosiding rujukan yang diadakan bagi memperingati bekas Mohamed Salleh Abas hari ini.

Kata Tengku Maimun, tahun 1988 akan selalu dikenang sebagai detik hitam dalam sejarah badan kehakiman Malaysia kerana kebebasannya - yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan - dikejutkan dengan pemecatan Salleh selaku ketua hakim negara.

“Ia mengakibatkan pergolakan dalam sistem kehakiman negara dan memberikan tamparan hebat kepada badan kehakiman serta perlembagaan," katanya.

Tengku Maimon berkata episod 1988 seharus dijadikan pengajaran oleh hakim-hakim bahawa biarpun terdapat percubaan untuk menjejaskan kebebasan institusi itu, mereka - dalam segala keadaan - perlu taat kepada Perlembagaan Persekutuan dan tegas dalam menjunjung kedaulatan undang-undang.

Dalam memperingati Allahyarham Salleh, Tengku Maimun berkata, bekas ketua hakim negara itu adalah tokoh perundangan yang berani dan hebat kerana gigih mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta kebebasan badan kehakiman hingga ke akhir hayatnya.

Allahyarham Salleh Abas

Menurut Tengku Maimun, Salleh pernah berkata, para hakim patut mematuhi dan menghormati konsep pemisahan kuasa dan tidak sepatutnya mencampuri domain eksekutif atau cawangan perundangan kerajaan.

Menurutnya lagi, Salleh dengan berani mempertahankan peranan badan kehakiman dan memberitahu bahawa badan kehakiman berperanan untuk mentaksahkan sebarang tindakan eksekutif atau badan perundangan menggunakan perintah prerogatif atau pengisytiharan sekiranya mereka melampaui batas kuasa yang diberikan oleh perlembagaan.

Sepanjang Salleh berkhidmat sebagai ketua hakim negara, kata Tengku Maimun, badan kehakiman Malaysia mendapat pujian sebagai contoh kebebasan kebolehpercayaan badan kehakiman kepada negara lain.

Sampaikan ucapan penghormatan

Tujuh bulan sebelum kematian Salleh, katanya, badan kehakiman menjemput tokoh terbabit ke Istana Kehakiman untuk sesi minum lewat petang dan memperingatinya yang menjadi satu rencana khas di dalam Buku Tahunan Kehakiman Malaysia.

“Dalam beberapa dekad sejak dipecat, beliau berkata, tiada penutupan untuk beliau kerana tidak berpeluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kakitangan mahkamah, badan kehakiman dan golongan peguam.

"Petang itu berakhir dengan acara ringkas untuk mengucapkan selamat jalan kepada Tun Salleh.

"Tidak disangka petang itu merupakan perpisahan dengan ucapan selamat tinggal terakhir kami kepada beliau,” katanya.

Prosiding rujukan itu dipengerusikan Tengku Maimun yang hadir bersama Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Mas Ermieyati Samsudin dan 39 ahli keluarga allahyarham turut hadir.

Prosiding perujukan merupakan tradisi yang dianjurkan bagi memperingati anggota golongan peguam yang telah pergi.

Peguam Negara Idrus Harun dan Presiden Majlis Peguam Karen Cheah dan cucu Abbas, Nuralissa Norrazak juga menyampaikan ucapan sebagai penghormatan.

Salleh yang berasal dari Kampung Raja, Besut di Terengganu meninggal dunia pada 16 Jan tahun lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Dia meninggal dunia dua hari selepas disahkan positif Covid-19. Ketika itu beliau berusia 91 tahun.

Salleh berkhidmat sebagai ketua hakim negara dari 1984 sebelum dipecat pada 1988. Dia dikenang keranan mempertahankan kebebasan badan kehakiman ketika berlaku krisis perlembagaan semasa Dr Mahathir Mohamed menjadi perdana menteri kali pertama.

Kemudian Abbas menyertai politik dan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Jertih, Terengganu dengan tiket PAS pada 1999.

Selepas mengundurkan diri daripada politik Abbas menjadi seorang peguam dan sering muncul di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

- Bernama