Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MP Sepanggar kumpul dana, taja sukarelawan baiki jalan berlubang

Kerja-kerja pembaikan jalan sedang berlangsung di Sepanggar selepas ahli parlimen Warisan Mohd Azis Jamman mengumpul dana dan menaja pasukan sukarelawan yang sejak malam tadi mula membaiki lubang jalan di kawasannya.

Menerusi kenyataan di Facebook, Azis menafikan usahanya adalah petanda pilihan raya semakin hampir, sebaliknya berkata pihak berkuasa terlalu lambat dalam mengambil tindakan untuk melindungi keselamatan pengguna jalan raya.

"Kemalangan yang akan meragut nyawa akibat jalan yang rosak ini tidak mengenal parti apa, bangsa apa, begitu juga agama apa. Ini peranan bersama.

"Baru-baru ini saya menerima lagi puluhan aduan kerosakan jalan dan saya sendiri melihat video-video yang ditularkan sehingga menyebabkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan di parlimen Sepanggar," kata Azis sambil menambah dia membeli peralatan pembaikan jalan yang diperlukan untuk kegunaan sepasukan sukarelawan.

"Suka atau tidak, selaku pemimpin maka saya terpaksa mencari penyelesaian kepada isu ini. Ini bukan gerakan untuk meraih undi atau simpati rakyat.

"Kepada yang sudah lama mengikuti saya di laman Facebook. Anda semua tahu bahawa saya bukanlah pemimpin yang turun bermusim hanya apabila pilihan raya semakin dekat," katanya.

Antara lain, setakat ini pasukan sukarelawan itu telah menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan di Tanjung Lipat, Pekan Manggatal dan Taman Bukit Putramas.

Susulan itu, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya telah menggerakkan kerja-kerja pembaikan di Likas awal hari ini.

Pada masa sama, Azis mengingatkan kerajaan pusat dan negeri bahawa mereka mempunyai kewajipan untuk menyalurkan dana infrastruktur yang diperlukan dan dia sebelum ini telah membuat banyak permintaan untuk tujuan itu di Dewan Rakyat.

"Segala peruntukan mereka yang kawal. Peruntukan tidak disalurkan pun kepada saya. Tetapi saya memahami mungkin kerajaan negeri tidak menerima peruntukan yang mencukupi dari kerajaan persekutuan.

"Maka saya ambil keputusan dan iniasiatif untuk bertindak dengan dana dan jentera yang saya usahakan sendiri," katanya sambil beterima kasih kepada para penyumbang.