Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Jalan tengah perlu jadi langkah ke depan PH

ULASAN | Menjelang konvensyen PH esok, saya ingin mengemukakan pendekatan 'jalan tengah Malaysia-sentrik' sebagai asas naratif PH menuju PRU15.

Bagi saya, dalam konteks politik kepartian di Malaysia, ada dua matlamat harus dicapai. Pertama; memenangi pilihan raya, kedua; membina Malaysia. 

Mengapa saya kata begitu? Kerana sebagai ahli politik pada usia muda, saya berharap ahli-ahli politik tidak sekadar bercita-cita untuk menang pilihan raya sahaja. Kita perlu menang pilihan raya demi membina Malaysia yang lebih maju dan demokratik bagi mencipta peluang ekonomi lebih baik buat warganya, merentasi naratif sempit perkauman dan keagamaan semata-mata. 

Naratif sempit perkauman adalah warisan politik lama - politik BN. Perkembangan terkini pula semakin jelas memperlihatkan naratif sempit keagamaan dijadikan bahan dagangan PAS hari ini.

Kita sepatutnya tidak boleh lagi menjadikan senjata menang pilihan raya dengan pendekatan menakut-nakutkan sesuatu kaum dengan cereka-cereka ancaman kaum yang lain, suatu agama dengan agama yang lain. Ini politik lapuk. Politik ke hadapan untuk Malaysia ialah politik yang menyatukan rakyatnya berganding bahu untuk membangunkan sebuah generasi yang memiliki peluang ekonomi setara, interaksi kaum yang harmoni, saling menghormati, dan tiada prejudis. Itulah Malaysia yang seharusnya menjadi impian kita semua.

Untuk merealisasikan impian ini tidaklah mudah. Sebab itu cukup tersohor tamsilan yang menggariskan perbezaan antara politikus dengan negarawan. Seorang politikus hanya memikirkan bagaimana memenangi pilihan raya seterusnya. Mereka sanggup lakukan apa sahaja berdalilkan niat menghalalkan cara. Tetapi, seorang negarawan akan memikirkan nasib generasi akan datang. 

Untuk menjadi seorang politikus yang baik dengan visi seorang negarawan, kita harus punya kewarasan untuk mengimbangi antara strategi jangka pendek memenangi pilihanraya yang datang lima tahun sekali dengan agenda membina generasi untuk masa hadapan Malaysia.

Menjelang konvensyen esok, saya mengharapkan PH dapat menegaskan pendirian jelas untuk menjadi pakatan politik yang berazam menang pilihan raya dan pada masa sama beriltizam membina generasi Malaysia yang lebih baik. 

Justeru, strategi PH tidak boleh sekadar meletak tanda aras memenangi kelompok sayap kanan kaum tertentu semata-mata. Lebih daripada itu, PH harus mengambil pendekatan mengemukakan ‘jalan tengah Malaysia-sentrik' demi membina bangsa merdeka, rasional dan berani menempuh sebarang cabaran. 

Sebenarnya sejak reformasi 1998, usaha parti-parti pembangkang ketika itu sudah dimulakan untuk membina rakyat berjiwa Malaysia-sentrik. Sewaktu rakyat beramai-ramai turun ke jalanan untuk tunjuk perasaan, tanpa sedar kita bukan keluar untuk membela susuk Melayu bernama Anwar semata-mata, tetapi bersama-sama menentang fitnah dan kezaliman penguasa. 

Gabungan pembangkang ketika itu telah menjadi satu 'gerakan rakyat’ yang membuka lembaran baru naratif politik Malaysia yang bertunjangkan politik nilai. Kita mengajak rakyat menolak fitnah dan kezaliman yang sering kali menjadi senjata jahat BN.

Pada 2018, pakatan pembangkang sekali lagi melakar naratif politik baru untuk Malaysia. Skandal 1MDB telah menjadi tanda dalam sejarah bahawa jauh dari toksik perkauman dan keagamaan sempit, rakyat telah bangkit melawan rasuah dan salah guna kuasa. Namun BN masih berterusan cuba mengheret kembali pemikiran rakyat ke sudut sempit perkauman demi menutup rasuah dan salah guna kuasa pemimpin mereka. Sebab itu dalam banyak keadaan, mantra 'rasuah takpa asalkan sokong Melayu' didendangkan di mana jua dalam kempen mereka. 

Akan tetapi, rakyat tidak termakan. Rakyat telah keluar beramai-ramai mengundi PH untuk mengatakan 'tidak' kepada rasuah serta salah guna kuasa melangkaui ketakutan perkauman yang dimainkan Umno/BN. PRU14 menjadi satu catatan sejarah terpenting di Malaysia tentang bagaimana rakyat bangkit beramai-ramai melawan rasuah serta penyelewengan kuasa.

Hakikatnya, PH sekali lagi telah menganjak naratif politik Malaysia dari berpusing-pusing sekitar politik sempit perkauman kepada politik nilai yang menolak rasuah dan salah guna kuasa. Hal ini penting kerana politik sempit perkauman tidak akan membawa negara kemana-mana. Apabila rasuah berleluasa, kesan buruknya tidak pernah mengenal warna kulit mahupun agama. Ia menjahanamkan ekonomi dan merosakkan institusi yang menjadi tonggak kekuatan negara.

Pun begitu, politik lama tajaan Umno/BN masih berhempas pulas memainkan orkes yang sama dan lapuk. Sehingga hari ini, senjata perkauman terus menerus dipertajam untuk tujuan memenangi pilihan raya. Persoalannya, adakah PH akan menari mengikut rentak mereka? Saya tidak fikir begitu.

PH perlu yakin. Jika disoroti pilihan raya  demi pilihan raya, sokongan teras Umno/BN kian mengecil dan statik. Dalam PRN Johor, kemenangan Umno hanyalah berbekalkan sokongan 40 peratus pengundi teras mereka di luar bandar. PH berhadapan kekalahan kerana peratusan keluar mengundi yang sangat rendah sekitar 50 peratus. Meskipun ada pelbagai faktor lain, namun fakta menunjukkan Umno bertahan dengan 40 peratus pengundi asasnya sahaja. Saya percaya, jumlah ini akan terus menurun dari semasa ke semasa.

Dalam erti kata lain, usaha pembangkang membawa rakyat ke ‘jalan tengah Malaysia-sentrik’ telah memberi anjakan pada politik Malaysia. Politik yang menekankan nilai, politik yang jauh dari ketakutan, jauh dari sentimen sempit perkauman dan keagamaan serta politik bertunjang pentadbiran bersih, berintegriti, adil serta demokratik untuk rakyatnya.

Justeru, usaha mengukuhkan landasan jalan tengah Malaysia-sentrik' ini mestilah menjadi teras perjuangan PH menuju PRU15. PH harus merangkul agenda perjuangan membina keyakinan rakyat agar melihat politik berteraskan nilai melangkaui dogma-dogma propaganda politik sempit BN. Tiada jalan lain untuk mematahkan naratif perkauman sempit BN kecuali dengan memacu deras naratif keadilan, pentadbiran berintegriti, ekonomi yang makmur, perpaduan rakyat tanpa diskriminasi serta membina masyarakat berbilang agama dengan sikap rahmah antara satu sama lain.

Inilah yang saya maksudkan dengan membina 'jalan tengah Malaysia-sentrik'. Jalan yang akan menyatukan rakyat Malaysia dengan nilai-nilai murni keMalaysiaan, jauh dari terheret ke sudut hujung politik sempit perkauman, bukan juga ke hujung ekstrem keagamaan.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah ahli jawatankuasa tertinggi DAP merangkap naib pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.