Bicara kes SM Faisal didakwa pukul bekas isteri ditangguh ke 20 Sept
Perbicaraan SM Faisal SM Nasimuddin atas dakwaan memukul bekas isterinya Emilia Hanafi di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur ditangguhkan hari ini.
Ia selepas ketua pasukan pembelaan, Akberdin Abdul Kader tidak dapat hadir kerana kakak iparnya meninggal dunia.
Peguam Jagjit Singh memberitahu mahkamah bahawa Akberdin sepatutnya memeriksa balas saksi hari ini.
Majistret Nadia Othman kemudian menetapkan 20 September ini untuk pengurusan kes.
SM Faisal yang hadir hari ini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang, pada 22 Nov 2015.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Menurut Free Malaysia Today, saksi pendakwaan kelima Mahmood Riad Mohd Noor ketika memberi keterangan semalam berkata, ketika Emilia membuat laporan polis terhadap SM Faisal, dia memberitahu yang dia dipukul dan dicekik oleh bekas suaminya itu.
Emilia berkata laporan dibuat di balai polis Sri Hartamas pada 23 November 2015.
Mahmood Riad juga berkata SM Faisal turut membuat laporan polis pada hari yang sama.
Pada 27 Jun lalu, Emilia dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari selepas gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur berkenaan tarikh lawatan SM Faisal untuk bertemu tiga anak mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai