Penukaran pengarang kumpulan NST cetus kebimbangan 'campur tangan politik'
Perubahan dalam sidang pengarang New Straits Times (NST) telah membangkitkan kebimbangan dakwaan campur tangan politik.
Ia selepas satu laporan mendakwa pemimpin Umno ada peranan dalam langkah NST, yang merupakan subsidiari Media Prima, menukar pengarang kumpulannya, Ahmad Lokman Mansor.
Bekas pengerusi Media Prima Johan Jaafar berkata langkah menyingkirkan Lokman adalah tidak dapat diterima.
"Saya dapati langkah menyingkirkan seorang editor yang membantu membangkitkan semula NST sangat tidak dapat diterima.
"Saya mempertahankan Lokman atas keberaniannya dalam melangkaui kebiasaan (pushing the envelope). NST menjadi akhbar yang lebih diterima hari ini adalah kerana apa yang dilakukannya," kata Johan dalam kenyataan hari ini.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Johan berkata campur tangan mana-mana parti politik dalam pelantikan editor adalah membimbangkan.
Dia berkata, ini kerana dinamik media telah berubah dan akhbar perlu dibenarkan bergerak dengan bebas dan saksama.
Hari ini, NST mengumumkan wartawan veteran Farah Naz Karim akan menjadi pengarang kumpulannya berkuat kuasa Khamis ini (15 September).
Pada masa ini, Farrah adalah produser eksekutif untuk program isu semasa di Media Prima.
Menurut Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Mustapha Kamil Mohd Janor, NST akan terus membuat perubahan termasuk dalam kepimpinannya sejajar dengan "pergerakan pesat dan persaingan yang kian meningkat dalam industri media".
Dia juga berkata NST sentiasa berusaha menjadi bebas secara politik.
"Sebagai akhbar bahasa Inggeris yang bertanggungjawab, NST dalam tahun-tahun mutakhir ini berusaha untuk beroperasi secara bebas daripada sebarang pengaruh luar, termasuk pengaruh politik," katanya.
Pemimpin Umno didakwa terlibat
Terdahulu, laporan The Vibes memetik sumber sebagai menyatakan pemimpin Umno iaitu Johari Abdul Ghani dan Ab Rauf Yusoh ada peranan dalam penyingkiran Lokman.
Menurut laporan itu, Rauf didakwa memberitahu Johari - yang merupakan pemegang saham kedua terbesar dalam Media Prima - bahawa di bawah lokman, NST tidak melindungi kepentingan Umno.
Antara contoh yang dilaporkan telah ddibangkitkan adalah editorial NST yang menyokong badan kehakiman berkaitan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak.
Laporan itu turt menyatakan kakitangan NST merancang satu petisyen untuk menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob agar menghalang langkah menyingkirkan Lokman.
Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang ketika mengulas perkembangan ini turut menggesa Ismail Sabri agar mengotakan komitmennya untuk memastikan media akan terus bebas tanpa campur tangan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai