Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sudah masanya Akta Penjara 1995 dipinda, kata KLSCAH

Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) mahu kerajaan dan pembangkang segera meneroka kemungkinan meminda Akta Penjara 1995 (Akta 537) agar pusat tahanan dan pembetulan negara itu tidak mencabuli hak asasi banduan.

Menerusi satu kenyataan media, hari ini, badan itu berkata, tanpa mengira status sosial banduan, hak mereka mesti dijamin dan dilayan secara berperikemanusiaan, serta kerajaan mesti memastikan banduan diberi kemudahan kesihatan dan perubatan yang mengikut standard.

“Dalam pendirian KLSCAH, adalah dipuji dan wajar untuk Jabatan Penjara Malaysia memberikan layanan sama rata kepada setiap banduan, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, tanpa mengutamakan statusnya sebagai seorang tokoh politik yang berpengaruh.

“Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa pihak berkuasa boleh menutup keadaan persekitaran penjara kita yang buruk, yang telah didedahkan oleh orang ramai berulang-kali,” kata badan itu.

Menurut KLSCAH, pelaksanaan reformasi sistem hukuman adalah perkara yang mendesak, lebih-lebih lagi banyak peruntukan dalam Akta Penjara adalah dasar yang ditinggalkan oleh sistem penjajah British.

“Terdapat persoalan sama ada ia masih sesuai dengan realiti kemudahan tahanan kita, memandangkan keadaan semasa penjara itu,” katanya.

Kenyataan KLSCAH ini dikeluarkan ketika Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam kerana dikatakan menghadapi masalah kesihatan ekoran tekanan darah. Ini dikatakan berpunca daripada ubatnya yang telah ditukar.

Bekas perdana menteri itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos menolak rayuannya terhadap sabitan SRC International atas tujuh pertuduhan jenayah.

Mengulas lanjut, KLSCAH berkata ulasannya bukan hanya merujuk terhadap pemenjaraan Najib tetapi membabitkan banyak lagi kes.

“Beribu-ribu banduan mengalami kehidupan di penjara yang sukar, malah terdapat juga pencabulan hak asasi mereka.

“Oleh itu, kami menyeru pihak berkuasa berkaitan untuk menyelesaikan isu kemudahan semasa.

“Masalah seperti kesesakan, kekurangan makanan dan kemudahan perubatan, kita perlu teroka penambahbaikan kepada keseluruhan sistem penjara dan pusat tahanan dan secara aktif menggalakkan pembaharuan sistem hukuman negara,” kata badan itu lagi.