Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

K’jaan tak ‘terlalu fokus’ prestasi ringgit, tumpu ekonomi - Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menepis kebimbangan berhubung prestasi ringgit.

Dia yang dipetik Bernama sebagai berkata, bahawa kerajaan tidak akan "terlalu fokus" kepada prestasi mata wang kerana akan terus memberikan tumpuan kepada prestasi ekonomi jangka masa sederhana hingga dan jangka masa panjang.

“Anda perlu memahami kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS). Instrumen monetari yang ada di Malaysia atau pasaran lain bergantung kepada senario ekonomi negara itu.

“Kadar inflasi di Malaysia dalam tempoh enam hingga tujuh bulan (2022) adalah 2.80 peratus jadi kita boleh mempunyai dasar ekonomi akomodatif, yang disokong oleh sokongan fiskal yang sangat besar,” katanya.

Ringgit Malaysia (RM) jatuh berbanding dolar AS, melepasi paras RM4.50 pada 6 Sept.

Ini adalah kali pertama paras RM4.50 ditembusi sejak Januari 1998, beberapa bulan selepas bermulanya Krisis Kewangan Asia.

Ringgit ditutup pada kadar RM4.50 berbanding dolar AS hari ini.

Bagaimanapun, MIDF Research menjangkakan ringgit akan pulih dan meningkat ke arah RM4.35 berbanding dolar menjelang akhir tahun ini.

Sikap berdiam diri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Zafrul berhubung isu itu dikecam oleh pembangkang.

Sementara itu, Zafrul berkata pertumbuhan ekonomi negara dijangka melepasi anggaran rasmi antara 5.3 dan 6.3 peratus pada 2022.

Dia berkata demikian berikutan pertumbuhan mendadak pada suku kedua pada 8.9 peratus, dengan jangkaan prestasi kukuh pada suku ketiga.