Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gempa kuat landa Papua New Guinea

Gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda wilayah timur Papua New Guinea pada Ahad, dilaporkan merosakkan harta benda dan menimbulkan panik di kalangan penduduk.

Tiada laporan kemalangan jiwa dan tiada pengesahan rasmi berhubung sebarang kerosakan harta benda setakat ini.

Gempa itu berada pada kedalaman 80 km (49.7 batu), menurut Pusat Seismologi Mediterranean Eropah.

Sistem amaran tsunami AS mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi itu melanda namun kemudian menyatakan amaran itu telah berakhir.

Tiada ancaman tsunami serta-merta kepada Australia, menurut Biro Meteorologinya.

Penduduk Papua New Guinea menggunakan media sosial bagi berkongsi imej dan video yang menunjukkan keretakan jalan, kerosakan bangunan dan kenderaan, serta barang-barang yang terjatuh dari rak pasar raya.

Gempa bumi merupakan perkara biasa di Papua New Guinea, yang terletak di kawasan "Ring of Fire" Lautan Pasifik, kawasan panas untuk aktiviti seismik akibat geseran antara plat tektonik.

Gempa bumi berukuran 7.5 magnitud menggegarkan kawasan pergunungan terpencil Papua New Guinea pada 2018, mengorbankan lebih 100 orang dan merosakkan beribu-ribu rumah.

- Reuters