Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15: MCA ingin tanding di semua kerusi Gerakan di P Pinang

MCA berhasrat untuk bertanding di semua kerusi yang pernah ditandingi Gerakan di Pulau Pinang pada PRU15.

Presiden MCA Dr Wee Ka Siong berkata parti itu ingin bertanding di kerusi-kerusi ditinggalkan Gerakan, yang kini tidak bersama BN, kerana kawasan terbabit mempunyai ramai pengundi Cina.

"Secara logik, kita akan ambil alih… kalau bukan semua, sebahagian besar daripada kerusi yang dahulu ditandingi oleh Gerakan kerana kawasan-kawasan itu mempunyai kepadatan pengundi Cina yang tinggi," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Terdahulu, Wee bersama-sama Timbalan Presiden MCA Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi MCA Pulau Pinang Tan Teik Cheng merasmikan Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru serta kawasan DUN Pantai Jerejak.

Mengulas lanjut,dia bagaimanapun berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi dengan parti komponen BN Pulau Pinang masih diteruskan dan segala keputusan akan dibuat secara bersama.

Pada PRU14, BN Pulau Pinang bertanding di 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen dengan Gerakan di 13 DUN dan empat Parlimen, Umno (15 DUN, lima Parlimen), MCA (10 DUN, empat Parlimen) manakala MIC di dua kawasan DUN.

-Bernama