Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tengkujuh: LKIM sedia bekalan ikan sejuk beku di kawasan banjir

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menyediakan bekalan ikan segar sejuk beku di kawasan berisiko banjir terutama pada musim tengkujuh nanti, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM Kusuadi Sallih.

Beliau berkata LIKM sedang merangka jawatankuasa persediaan bencana alam bagi memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi dan dapat dibekalkan ke kawasan yang dilanda banjir.

"Kita turut menyediakan pusat pengumpulan ikan di beberapa negeri sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

"Selain itu, kita akan mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai situasi banjir yang akan berlaku di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan di Wisma I'Baadurraham Taybah Mart, di Tumpat hari ini, yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Media melaporkan MetMalaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kusuadi berkata sebanyak 22 DUN di Kelantan telah melaksanakan PJMKM dengan nilai jualan mencecah RM1.2 juta membabitkan seramai 24, 335 pengunjung.

"Kebanyakkan DUN di negeri ini telah melaksanakan sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali PJMKM.

"Ini jelas menunjukkan bahawa kita sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi kepada rakyat," katanya.

- Bernama