Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Naib presiden PKR: Anwar dan Rafizi bekerjasama dengan baik

Walaupun banyak kali berbeza pandangan secara terbuka, hubungan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Rafizi Ramli dilihat kekal baik.

Menurut Naib Presiden PKR Chang Lih Kang, Anwar dan Rafizi "bekerjasama dengan baik" selepas bekas ahli parlimen Pandan itu menang jawatan timbalan presiden dalam pemilihan Julai lalu.

"Saya dapat lihat Anwar beri banyak ruang kepada Rafizi untuk memimpin, terutama dalam hal penting seperti rundingan kerusi dan persediaan pilihan raya.

"Saya fikir mereka bekerja bersama dengan baik dan Rafizi juga merujuk presiden kita dari semasa ke semasa.

"Komunikasi antara mereka agak baik setakat ini," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini dan KiniTV hari ini.

Pengundi atas pagar

Berkenaan strategi pilihan raya, Chang yang merupakan ahli parlimen Tanjung Malim berkata PKR sedang menggerakkan pendekatan baru untuk meraih sokongan pengundi atas pagar, dengan membangkitkan kempen Ayuh Malaysia sebagai contoh.

"Saya rasa kali ini pengundi atas pagar dari semua kaum akan jadi faktor penentu. Kita dapat lihat kumpulan ini semakin ramai," katanya lagi.

Katanya, antara isu yang menjadi keutamaan PKR adalah golongan miskin bandar dan isu pekerjaan tidak setaraf pendidikan yang dihadapi orang muda.

"Kita tak boleh hanya bangkitkan masalah oleh kerajaan tanpa menyatakan penyelesaian.

"Inilah sebabnya selain menggunakan platform parti, kami juga mewujudkan Ayuh Malaysia untuk menangani kebimbangan golongan atas pagar," katanya lagi.

Antara matlamat kempen itu adalah untuk mencapai peratus keluar mengundi hampir 80 peratus dalam PRU15.

Ayuh Malaysia bermula dengan acara kempen trak di seluruh negara untuk menangani isu kelesuan pengundi, dengan peratusan keluar mengundi yang lemah menjejaskan peluang PKR dan PH pada pilihan raya akan datang.

Ia juga ingin menarik sokongan pengundi kali pertama, golongan atas pagar dan kalangan yang tidak lagi menyokong PH sejak 2018.

Kempen trak ini akan memberi tumpuan di 50 kerusi marjinal PKR di seluruh negara.

Trak itu akan digunakan untuk mengadakan perhimpunan politik dan perbincangan di kawasan pilihan raya di seluruh negara, untuk menyemarakkan semula minat dalam politik menjelang pilihan raya.