Amanah alu-alukan hasrat Muda sertai PH
Meskipun mendapat tentangan dari dalam PKR, ia tidak mempengaruhi Amanah untuk mengalu-alukan hasrat Muda untuk menyertai gabungan itu.
Pengarah komunikasi Amanah Khalid Samad berkata ini kerana kesatuan dalam kalangan parti pembangkang menjadi keutamaan partinya.
Malah, Anggota Parlimen Shah Alam itu berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Presiden PH akan datang.
"(Muda) Dialu-alukan. Kesatuan pembangkang adalah hasrat Amanah dan insya-Allah akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden PH," katanya ringkas kepada Malaysiakini.
Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke juga melihat perkara itu secara positif dan menggesa ia dibincangkan oleh Majlis Presiden PH dengan secepat mungkin.
Bagi Loke, hasrat yang disuarakan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu membuktikan satu lagi parti menaruh keyakinan terhadap PH.
Syed Saddiq mengumumkan perkara itu dalam sidang media Selasa lalu, sambil menjelaskan rundingan tidak rasmi telah diadakan dengan pimpinan PH.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Muda masih belum mengemukakan permohonan untuk menyertai PH, jadi ia belum dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden.
Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim pula berkata ada beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum menerima Muda, terutama pendapat dan sentimen akar umbi selain terdapat banyak prasyarat yang perlu dipenuhi sebelum keputusan dibuat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai