Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Thomas: Kamu tak boleh ugut Mahkamah Persekutuan

EKSKLUSIF | Dalam bahagian ketiga temu bual eksklusif dengan James Chai dan P Gunasegaram, bekas peguam negara Tommy Thomas mengulas tentang kesan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes RM42 juta SRC International melibatkan Najib Razak dan pentingnya kebebasan kehakiman.

Malaysiakini: Apakah pendapat anda mengenai keseluruhan keputusan Mahkamah Persekutuan dan prosesnya?

Tommy Thomas: Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai pilihan. Kamu tidak boleh jadikan Mahkamah Persekutuan tebusan atau memeras ugut. Saya minta maaf, ini adalah sistem adversari. Saya selalu menggunakan analogi sukan. Anda datang untuk permainan badminton di peringkat akhir, dan satu pasukan tidak mahu bermain, mengadu tentang pengadil. Perlawanan telah tamat - ia dibatalkan.

Jadi Najib mendapat perbicaraan yang adil dan tidak berat sebelah?

Sudah tentu. Sepenuhnya. Saya tidak ragu-ragu tentang itu.

Jadi kenapa, dalam menghadapi bukti yang sangat besar, dia (Najib) masih menyebarkan mesej mengatakan bahawa dia tidak bersalah, tanpa sebarang tindakan diambil terhadapnya? Bolehkah tindakan diambil terhadapnya? Malah, peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah berucap di perhimpunan Umno dan berkata RM42 juta itu datang daripada penderma Arab?

Anda perlu memisahkan kedua-dua individu ini. Kebanyakan sistem perundangan lebih bertolak ansur dengan tertuduh. Jadi Jack the Ripper boleh pergi ke kuburnya dengan mengatakan "saya tidak bersalah" dan undang-undang akan berkata, "Itu pandangan anda", mahkamah mendapati dia bersalah. Mahkamah lazimnya tidak terlalu bertindak balas terhadap pendapat orang awam. Jika mereka terus menganggap mereka tidak bersalah apabila didapati bersalah, mahkamah tidak terlalu teruja.

Tetapi situasinya berbeza sama sekali untuk peguam, kerana peguam mempunyai standard yang berbeza. Peguam di Malaysia perlu mematuhi Akta Profesion Undang-undang, peraturan etika kita, dan semua kewajipan profesional kita. Itulah sebabnya presiden Badan Peguam Malaysia berkata Badan Peguam akan mengemukakan prosiding tatatertib terhadap semua peguam ini kepada DB (Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguam Cara). Kerana peguam mempunyai standard yang berbeza.

Itulah sebabnya saya berkata jika anda telah menyebut [dalam bahagian 2 temu bual] kemungkinan ini kepada peguam atau hakim Komanwel dua minggu lalu sebelum ia berlaku, mereka akan berkata, "Tidak, tiada siapa yang berkelakuan seperti itu." Oleh itu, ia adalah tanpa duluan (precedent).

Dalam buku anda, anda mengatakan semakin lama kes itu ditangguh, lebih ramai orang akan berasa kecewa tentang proses itu. Ramai yang berkata, untuk kes ini, bahawa jika Najib bersalah, kenapa dia belum lagi di penjara? Dan sebahagian daripada sebabnya ialah kerana di peringkat Mahkamah Tinggi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang membolehkannya bebas walaupun dia telah disabitkan kesalahan. Adakah anda fikir kebenaran (penangguhan hukuman) itu wajar diberikan untuk jenayah kolar putih yang berprofil tinggi dan serius? Jika ia tidak dibenarkan, adakah itu akan mengubah pandangan umum untuk merasakan bahawa keadilan telah dilaksanakan?

Saya gelar ini 'ikat jamin selepas sabitan', dan saya rasa hakim Nazlan, yang saya pernah tampil dalam perbicaraan yang dihakiminya berkali-kali, dan dengan penuh penghormatan, menulis penghakiman yang hebat dan merupakan hakim yang hebat – salah seorang hakim terbaik, dan serangan terhadap dia tidak adil - tetapi pada pendapat saya, dia membuat satu kesilapan. Iaitu, selepas sabitan dan hukuman – orang lupa bahawa sebenarnya 72 tahun bagi kesemua tujuh pertuduhan di mana dia (Najib) didapati bersalah, dan denda RM210 juta – dia memberi kebenaran ikat jamin. Saya fikir itu adalah satu kesilapan. Saya berkata demikian pada masa itu, dan apabila dilihat semula, hakim Nazlan sendiri mungkin mengakuinya sekarang. Akibat memberi ikat jamin, serangan terhadap hakim secara peribadi dalam tempoh enam bulan lepas sama sekali tidak boleh diterima.

Kedua, peruntukan kesaksamaan. Sekiranya peruntukan kesaksamaan dibangkitkan dalam senario jaminan selepas sabitan, mahkamah boleh memutuskan bahawa kesalahan serius seperti itu tidak memerlukan jaminan. Jika ikat jamin telah ditolak, dan dia telah masuk penjara, dia akan kekal sehingga Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan membuat rayuan. Kerosakan kepada 'politik badan' (body politic) Malaysia dalam dua tahun kebelakangan ini boleh dielakkan.

Saya sempat melalui pendakwaan Harun Idris. Kes Harun Idris adalah pada lewat 70-an, dan dia adalah salah seorang panglima politik paling berkuasa di Malaysia - perdana menteri pada masa itu takut kepadanya. Selain Harun Idris, ada Mokhtar Hashim, dan kemudian Anwar Ibrahim – tiada seorang pun daripada mereka menggegarkan 'politik badan' Malaysia apabila mereka didakwa atau disabitkan kesalahan. Sudah tentu, mereka membuat kecoh mengenainya, mereka mengatakan ia bermotif politik tetapi peguam mereka semua bersikap profesional. Paling ketara, persekitaran politik kita tidak pernah tidak stabil, seperti yang berlaku pada masa lalu.

Saya tidak boleh untuk tidak merasakan bahawa sistem kita nampaknya masih mempunyai perbezaan dalam cara kita melayan Najib sejak awal. Anda menulis bahawa, dalam keadaan biasa, kita akan melihat Najib dihadapkan ke mahkamah dengan memakai seragam jingga (seragam tahanan SPRM) dengan gari, tetapi SPRM memutuskan untuk tidak melakukannya. Kemudian, mereka membenarkan ikat jamin dibayar secara ansuran, yang di luar kelaziman, dan baru-baru ini, Anwar Ibrahim berkata bahawa dia cukup yakin penjara akan melayan Najib dengan lebih baik berbanding banduan biasa. Nampaknya ini adalah sesuatu yang sudah berakar umbi, bahawa tanggapan kesaksamaan di hadapan undang-undang adalah sesuatu yang kita takut untuk kuat kuasakan.

Saya bersetuju dengan anda sepenuhnya. Sekurang-kurangnya para hakim, (selain daripada hakim Nazlan yang membenarkan ikat jamin), saya rasa mereka semua sedar mengenainya. Dalam penghakiman mereka, mereka bercakap mengenai Perkara 8 dan kesaksamaan, iaitu badan kehakiman di tiga peringkat.

Tetapi selebihnya perkhidmatan awam, SPRM, polis, penjara, mereka masih sangat feudal dalam fikiran mereka. Begitu banyak yang telah ditulis mengenai feudalisme di Malaysia, dalam politik. Ini bukan komen asal yang saya buat. Jadi ini adalah feudalisme dalam tindakan. Mereka merasa sukar. Mereka tidak boleh memikirkan kesaksamaan. Mereka telah meletakkan pemimpin mereka di tempat tinggi, dan itu adalah masalah orang ramai.

Apa yang boleh kita lakukan? Ahli politik mendapat manfaat. Tetapi jika orang ramai tidak meletakkannya di tempat tinggi, mereka tidak akan berada di tempat tinggi. Jadi ia adalah budaya - ia adalah sebahagian daripada masyarakat Malaysia.

Asas kes ini, ini adalah kes mudah, seorang pegawai awam menyeleweng sejumlah wang ke dalam akaun banknya dan membelanjakannya. Pada pendapat anda, mengapakah sistem kita membenarkan perkara ini berlaku?

Ia adalah masalah struktur Malaysia. Ia adalah akibat penumpuan kuasa di Pejabat Perdana Menteri. Sejak Merdeka, Tunku (Abdul Rahman) adalah perdana menteri yang berkuasa, ia diteruskan di bawah Tun (Abdul) Razak (Hussein, bapa Najib dan perdana menteri kedua). Dr M (Mahathir Mohamad) sememangnya seorang perdana menteri yang autoritarian.

Jadi apabila Najib menjadi perdana menteri keenam, terdapat begitu banyak kuasa dalam jawatan perdana menteri, dan kemudian dia (Najib) menjadi menteri kewangan - lebih banyak kuasa. Dan pada masa itu, negara ini sangat terlibat dalam ekonomi dan aktiviti perniagaan negara. GLC (syarikat berkaitan kerajaan), Khazanah (Nasional Bhd), dan Petronas: negara ini mempunyai pengaruh di seluruh dunia - negara bermaksud perdana menteri. Perdana menteri dan/atau menteri kewangan melantik dan memecat bos-bos GLC. Jadi semua orang takut dengan perdana menteri.

Ambil KWAP (Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan) sebagai contoh, sudah pasti pengerusi KWAP, lembaga pengarah, yang kesemuanya dilantik oleh Najib, tidak akan berani berkata “tidak” kepadanya. Kerana jika mereka berkata tidak, mereka akan disingkirkan. Dan mereka tidak melakukannya.

Kuasa melampau itu akan disalahgunakan, itulah sebabnya anda mesti mempunyai semak dan imbang, dan kuasa dilemahkan dan dikongsi.

Anda sebut kes Harun Idris. Saya masih ingat hakim dalam kes itu ialah Eusoffe Abdoolcader, yang anda anggap sebagai salah seorang hakim terbaik yang pernah kita miliki. Dalam kes SRC, kita mempunyai hakim yang baik, seperti Hakim Nazlan dan (Ketua Hakim Negara) Tengku Maimun (Tuan Mat) juga. Pada pendapat anda, sejauh mana keputusan sabitan bekas perdana menteri itu berlaku disebabkan oleh kekuatan personaliti hakim yang kita ada, dan bukannya sistem kehakiman yang bebas, dan dengan itu sistem itu boleh dipercayai tanpa mengira hakim mana, dan kita akan peroleh keputusan yang sama?

Apabila Harun Idris didakwa, ia adalah semasa zaman kegemilangan badan kehakiman kita. Kita mempunyai Tun Suffian (Hashim) sebagai Presiden Mahkamah Persekutuan – mungkin yang terbaik yang pernah kita miliki – dan kemudian Raja Azlan Shah sebagai Hakim Besar Malaya, dan Hakim Eusoffe menghakimi perbicaraan. Mereka adalah tiga daripada hakim terbaik kita pada abad ke-20, sebelum dan selepas Merdeka. Itu adalah faktor yang relevan.

Kemudian Hakim Nazlan di sini (di perbicaraan SRC) dan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan - mereka semua adalah hakim yang kuat, sudah tentu ketua hakim dan yang lain di Mahkamah Persekutuan. Para wanita [i.e. hakim wanita], khususnya, sangat baik. Mereka yang terbaik. Sesungguhnya mereka adalah ahli perundangan bertaraf dunia, sangat berani dan berprinsip. Jadi saya fikir itu sudah tentu satu faktor.

Sama ada hakim lain dapat menghakimi kes itu adalah soal spekulasi. Saya tidak tahu, tetapi sudah tentu tumpuan pada personaliti pada kedua-dua keadaan adalah wajar. Dalam sistem undang-undang matang, seperti UK yang mempunyai sistem undang-undang selama seribu tahun, standard dan jangkaan hakim adalah tinggi; ramai hakim yang berwibawa dijangka akan mencapai kesimpulan yang betul (dalam kes seperti ini) kerana sistemnya seperti pokok oak yang besar – walaupun kesilapan pasti wujud. Tetapi negara-negara membangun belum mempunyai itu. Sistem kita tidak berusia 100 atau 200 tahun, jadi ia mengambil masa yang lama. Oleh itu personaliti penting.

Untuk mempunyai kebebasan kehakiman, anda memerlukan dua elemen, satu ialah perlindungan undang-undang yang dilaksanakan, dan kedua DNA hakim di situ. Saya tertanya-tanya untuk yang pertama, adakah anda fikir kita mempunyai perlindungan undang-undang yang mencukupi terhadap campur tangan politik? Alasan saya bertanya adalah kerana berita Umno mengadakan mesyuarat khas yang mengkritik (Perdana Menteri) Ismail Sabri (Yaakob) kerana tidak campur tangan dalam kes seperti SRC, dengan andaian mereka boleh campur tangan.

Dari segi sejarah, presiden Umno sentiasa menjadi perdana menteri dan sudah tentu semasa perbicaraan Anwar terdapat persepsi bahawa hakim seperti Eusoff Chin, yang merupakan penerima langsung krisis kehakiman 1988, menganggap mereka terhutang budi (kepada ahli politik). Orang ramai lupa bahawa salah satu akibat daripada krisis kehakiman 1988 ialah mempolitikkan badan kehakiman, dalam erti kata hakim sedar, jika mereka tidak ikut "rentak permainan", mungkin ada ulangan Salleh Abas (yang dipecat) , jadi itulah yang ingin dicapai oleh ahli politik.

Jadi bergerak ke hadapan 30, 40 tahun kemudian, Umno, yang sudah biasa dengan caranya… Umno telah menunjukkan warna sebenar minggu lalu. Kerana mereka berpendapat bahawa sistem itu masih berfungsi hari ini. Tetapi ia tidak seperti ini sekarang. Sudah tentu, tiada sesiapa dari Umno patut campur tangan. Dan tahniah kepada perdana menteri kerana tidak mendengar mereka, dan semua orang dalam kabinet untuk tidak mendengar tuntutan bodoh seperti ini. Ia bertentangan dengan perlembagaan dan merupakan penghinaan mahkamah. Ia adalah kelakuan kurang ajar oleh Umno dan tidak boleh diterima sama sekali.

[Baca berita asal]


Bahagian 1: Adakah mahkamah berlembut terhadap Najib?

Bahagian 2: Thomas - Mengapa SRC jadi kes pertama berkait 1MDB

Esok: Pengampunan untuk Najib tidak boleh dilakukan secara sah sekarang