Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Mencintai 'kemanisan' PAS di Kota Sarang Semut

ULASAN | Muktamar PAS kali ke-68 melabuhkan tirainya kelmarin. Pastilah kira-kira 1,300 perwakilan yang hadir serta penyokong PAS kembali ke tempat masing-masing dengan semangat berkobar-kobar di dada.

Begitulah sunnah orang berjuang, terutama selepas mendengar amanat demi amanat daripada barisan kepimpinan tertinggi.

Ia menjadi lebih membara apabila 'mangkuk Pak Belalang' tilikan Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, memperlihatkan betapa PRU ke-15 sangat hampir.

Justeru pada pejuang PAS diperlukan memberikan komitmen tertinggi kerana ia akan menentukan sama ada mereka mampu kekal sebagai kerajaan atau kembali terjelepuk sebagai pembangkang.

Dalam keadaan begitulah tiba-tiba penulis mencintai PAS. Dengan keharmonian yang dipamerkan sepanjang muktamar berlangsung di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut yang tersergam indah itu, memang mudah untuk sesiapa juga jatuh cinta.

Walaupun pengamal media tidak dibenarkan membuat liputan secara lebih dekat iaitu di dalam dewan Datuk Fadzil Noor, khemah khas disediakan penganjur sudah selesa.

Cuma ia agak kecil untuk menampung jumlah kami yang ramai, dan ada ruang untuk ditambah baik pada masa akan datang.

Kelibat Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat, dan petugas yang mengawal selia keperluan petugas media pula cukup untuk menjadi penyejuk suasana.

Ia juga sedikit sebanyak mengubat kekecewaan kami kepada bihun sup gerai muktamar yang terasa sedikit merosot 'padunya'.

Walaupun bergelar YB, Ustaz Azam sama sekali tidak kekok memunggah sendiri kotak-kotak air minuman, mengagihkan sandwic dan kuih-muih di samping sentiasa bertanya keperluan petugas media dari semasa ke semasa sehingga muktamar selesai.

Tidak macam selalu

Lebih terpuji apabila PAS yang kini berada dalam kerajaan kekal menganjurkan muktamarnya di bangunan milik parti ketika mereka sebenarnya memiliki 'kunci' untuk mengambil kesempatan menggunakan kemudahan milik kerajaan.

PAS kekal istiqamah dalam membezakan yang mana harta parti, dan yang mana harta kerajaan.

Secara tidak langsung - dalam konteks politik semasa di Kedah - PAS memberi sindiran lunak kepada rakan mereka, Umno, yang baru-baru ini ditegur pegawai kanan menteri besarnya dalam isu menyambut perdana menteri di Baling.

Muktamar kali ini berjalan dengan begitu tenang, ramah dan harmoni. PAS memperlihatkan mereka berminat mahu membicara hal-hal sendiri sahaja. Tidak ada serangan bertubi-tubi terhadap musuh ketat mereka seperti selalu.

Malah Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan penangguhan memberi gambaran betapa partinya perlu menjuarai hati pengundi bukan Melayu.

Dan duta khas bertaraf menteri itu - dalam memahamkan ahlinya - mengambil DAP sebagai perbandingan untuk diteladani dalam usaha mereka mendapatkan sokongan orang bukan Melayu-Islam, khususnya masyarakat Cina.

Cuma, secara jujur, perbandingan Abdul Hadi itu kelihatan memang canggung.

Dalam ucapan muktamar, hanya sesekali kedengaran kritikan dituju terhadap parti-parti lawan. Itu pun sekadar sambil lalu serta tidak berapi-api seperti tahun-tahun lalu.

Barangkali PAS menyimpan peluru-peluru sebenar sebagai modal menuju medan PRU ke-15 nanti?

PAS sudah mengalami banyak perubahan dan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan. Kedudukan itu sudah pasti menyediakan suasana jauh lebih selesa buat mereka berbanding di posisi pembangkang.

Istimaqah mahu kepada Umno

Justeru, tentunya PAS mempunyai keinginan sangat besar - sekali gus berdepan cabaran besar juga - untuk terus mengekalkan status berkenaan, lebih-lebih lagi dengan senario politik yang di luar jangka.

Abdul Hadi dan bala tentera PAS semestinya mahu mencari formula terbaik untuk memastikan apa yang dinikmati mereka kini bukan saja kekal, malah berkembang dengan menyeluruh.

Pada muktamar kali ini, isu perundingan dan kerjasama dengan Umno tetap menjadi tumpuan apabila PAS menegaskan perbincangan mereka bersama pemimpin tertentu masih wujud walaupun dinafikan dengan tegas oleh pimpinan tertinggi Umno sendiri.

Tetapi PAS tidak mudah melatah. Seboleh mungkin PAS bersikap bagai menarik rambut dalam tepung. Walaupun Muafakat Nasional (MN) diakui semua sudah retak, tapi di tangan PAS pakatan tersebut belum berkecai. Sekurang-kurangnya setakat ini.

Di sebalik gelora yang melatari MN, PAS tetap menyatakan kemahuan mereka untuk bekerjasama dengan Umno dan pada masa sama kekal setia dengan Bersatu serta PN.

Lebih penting daripada itu, PAS boleh berbangga kerana keengganan kepemimpinan utama Umno yang terzahir dengan jelas, masih ada tokoh tertentu yang sudi melayan kehendak PAS untuk terus berunding. Ia adalah benar dengan andaian PAS tidak berhelah di sebalik madah.

Namun wajar juga dipersoalkan: apakah pendirian PAS itu benar-benar jujur dan bukan telunjuk saja lurus sedangkan kelengkeng berkait. Bagaimana jika istiqamah PAS itu merupakan serampang dua mata sementara menanti kesempatan terbaik untuk memastikan mereka selamat dalam apa jua keadaan?

Ketika ini kedua-dua pihak bertegas dengan kenyataan masing-masing. PAS bertegas mendakwa mereka sedang berunding dengan individu yang 'misteri' sedangkan pemimpin Umno menafikan ia berlangsung.

Maka suka atau tidak, ia adalah ramuan sederhana - tapi berkesan - untuk menyemarakkan rasa sangsi dalam kalangan pemimpin Umno. Ia menjurus kepada perpecahan parti.

Sama ada Umno berpecah atau tidak, PAS tetap untung. Itulah antara kebijaksanaan PAS.

Tak peduli pada kecaman

PAS juga ketika ini sedang gigih mencipta naratif bahawa mereka kekal mahu bersahabat dengan 'semua' - tapi tentulah kecuali DAP dan Amanah - walaupun dipandang sepi oleh Umno.

PAS sebenarnya berada dalam posisi menyerang di sebalik zahirnya yang kelihatan bertahan saja. PAS mahu kelihatan seperti mangsa kepada Umno. Jika tidak menanganinya dengan betul, maka Umno akan dianggap sebagai punca MN gagal.

Ramai pemimpin PAS menyebut mereka mahu mengelak daripada bertembung dengan Umno di hampir 30 kerusi parlimen di seluruh negara.

Dari satu sisi, ia adalah jerangkap samar buat Umno dan - sekali lagi - jika Umno bersetuju atau tidak, PAS akan tetap menjadi pihak paling 'beruntung'.

Ada pun di pihak PN, di atas kertas gabungan itu sukar untuk melebarkan pengaruh jika bersandar kepada apa yang ada sekarang. Bersatu hanya gah pada nama namun gerak kerja dan akar umbinya dipercayai sangat terhad.

Jika ada pun, ia amat rapuh.

Berbeza dengan PAS yang memang dihormati atas kerelaan ahlinya untuk bertugas hampir apa saja demi 'agama' seperti yang didoktrinkan parti melalui pelbagai program mereka.

Menjelang PRU ke-15, PAS sekali lagi bercita-cita menjadi king maker. PAS pernah diketawakan atas impian mereka itu, namun terbukti sedikit sebanyak ia menjadi kenyataan.

Dalam keadaan semasa, PAS tidak peduli pun jika mereka dikecam, dikutuk, diperli, disindir atau apa saja. Sikap itu terbukti menjadi ramuan yang tepat kerana akhirnya mereka memasuki Putrajaya.

Realiti semasa menunjukkan PAS tidak endah pun gelaran kerajaan pintu belakang yang dilabelkan pada mereka. Kerana yang penting, mereka sekarang di pihak kerajaan.

Menjadi kerajaan ini banyak manfaatnya. Tambahan pula PAS diberi kepercayaan menjaga hal ehwal Islam. Ia adalah peluang yang tidak pernah ada pada PAS waima semasa mereka menjadi kerajaan kali pertama puluhan tahun silam.

Ketika itu, tanpa menguasai portfolio agama pun, kita dapat menyaksikan bagaimana PAS menyebarkan pengaruhnya dalam kalangan kakitangan awam. Bayangkan apa yang mampu dilakukan PAS sekarang.

Pun begitu laluan PAS tidak sentiasa mudah. Di kanan mereka ada Umno, di kiri mereka ada Bersatu, Gerakan dan lain-lain. Di depan ada pembangkang, manakala di belakang ada parti-parti dari Sabah dan Sarawak yang membawa dinamika tersendiri.

Percaturan PAS tentulah mahu kekal dalam kerajaan. Tetapi PAS perlu sentiasa ingat, bukan mereka saja yang tahu mencatur.

Silap hari bulan, PAS akan bertakbir sambil terpelanting dari Putrajaya.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang akan berkelana beberapa ketika di Kedah pada PRU ke-15 nanti.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.