Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Zahid perlu berundur sebagai presiden Umno kerana skandal LCS - Lim

Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada memimpin parti itu susulan skandal pemerolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Lim berkata, Zahid bukan saja gagal membersihkan dirinya tetapi juga kemungkinan penglibatan perdana menteri ketika itu Najib Razak.

"Ahmad Zahid harus berundur sebagai presiden Umno kerana dia tidak dapat membersihkan dirinya daripada tanggungjawab besar berhubung LCS) RM9 bilion dalam masa sebulan ini, dan lebih teruk lagi, jelas Najib 'jerung' terbesar dalam skandal itu. 

"Sebulan yang lalu, Zahid adalah bodoh untuk menafikan bahawa dia bertanggungjawab terhadap skandal RM9 bilion LCS.

Najib (tengah)dan Zahid ketika BN memang pilihan raya Johor Mac lalu, gambar hiasan

"Keengganan Zahid untuk menafikan bahawa Najib yang mengarahkannya untuk membatalkan keputusannya mengenai LCS pada 2011 adalah cakap besar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa dan kerajaan perlu memberi penjelasan lebih teliti mengenai projek LCS bagi menjelaskan sebarang kekeliruan orang ramai.

Bagaimanapun, Zahid turut menyatakan kebimbangan bahawa penjelasan sebegitu boleh mendedahkan rahsia pertahanan negara.

Projek bagi memperoleh enam kapal untuk tentera laut yang dimulakan pada 2011 itu sehingga kini belum siap.

Berlaku juga peningkatan kos selepas kerajaan memilih reka bentuk yang lebih mahal walaupun ditolak oleh tentera laut sebagai pengguna akhir.

Dalam kenyataan di Facebook, Zahid–menteri pertahanan ketika perolehan LCS di peringkat awal–berkata terdapat ‘politik tuding jari’ selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan kegagalan dan kelemahan dalam projek itu.

Sementara itu, Lim berkata, walaupun Zahid memegang jawatan menteri pertahanan daripada April 2009 hingga Mei 2013 dan kontrak itu ditandatangani pada 17 Julai 2014, Zahid memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada penggantinya. 

"Beliau masih boleh menjelaskan jika fakta sebaliknya dan membuktikan pertama, beliau tidak bertanggungjawab terhadap skandal LCS RM9 bilion.

"Dan kedua, bukan Najib yang mengarahkan beliau membatalkan keputusannya untuk mendapatkan LCS Sigma dan sebaliknya memilih LCS Gowind," katanya.