Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Adakah mahkamah ‘berlembut’ terhadap Najib?

EKSKLUSIF | Perbicaraan kes Najib Razak membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) adalah proses yang panjang. Ia mengambil masa selama empat tahun sebelum bekas perdana menteri itu dipenjara.

Bekas peguam negara, Tommy Thomas, yang memulakan prosiding itu mengulas mengenai proses mahkamah dan beberapa cara untuk mempercepatkannya dalam bahagian kedua temubual eksklusif bersama James Chai dan P Gunasegaram.

Malaysiakini: Jika diimbas semula, pada pendapat anda, adakah anda rasa mahkamah “berlembut” dengan Najib memandangkan tempoh yang diambil untuk kes itu selesai, dan jenis bantahan yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan, nampaknya terdapat lebih banyak kelonggaran berbanding yang diberikan kepada orang biasa?

Tommy Thomas: Saya boleh jawabnya begini... Saya mempunyai pengalaman perbicaraan yang agak banyak, tetapi dari aspek perundangan sivil, dan apabila anda melakukan perbicaraan yang besar, ini bermakna tiga atau empat minggu atau lebih, kami selalu mengatakan kami mahu ia diselesaikan sekali gus. Jadi, jika perbicaraan empat minggu, berikan kami satu bulan, Isnin hingga Jumaat setiap minggu, sepanjang bulan, dan hakim cuba untuk mengaturkannya.

Saya berkata kepada (hakim perbicaraan) hakim (Mohd) Nazlan Mohd Ghazali) (untuk melakukannya sekali gus), dan sebabnya sangat jelas iaitu kerana ia lebih efisyen untuk peguam dari kedua-dua belah pihak dan untuk mahkamah memberi tumpuan kepada satu kes selama empat minggu, lima minggu, dua bulan atau tiga bulan: ia adalah lebih efisyen.

Sudah tentu, (peguam Najib, Muhammad) Shafee (Abdullah) membantah, mengatakan ia tidak pernah berlaku sebegitu di mahkamah jenayah. Tetapi hakim Nazlan tidak melayan permintaan saya. Kesannya - seperti yang anda tahu - perbicaraan dijalankan secara berperingkat. Jadi anda diberikan dua minggu, kemudian rehat, kemudian tiga hari, kemudian rehat, dan saya rasa perbicaraan itu berlangsung selama 50 atau 60 hari, tetapi menjangkau dua tahun.

Di tempat lain di dunia, dalam perbicaraan Roger Ng di AS, ia mengambil masa dua minggu. Perbicaraan Boris Becker di London pula adalah selama satu minggu. Mereka masuk penjara serta-merta.

Roger Ng

Dua bulan, saya rasa, untuk Roger Ng.

Perbicaraan itu sendiri adalah kira-kira tiga minggu. Mereka ada (waktu) rehat. Kita mempunyai masalah struktur di Malaysia dan ia disebabkan oleh peguam Malaysia yang tidak mahu perbicaraan berlangsung dari awal hingga akhir. Jadi mari kita salahkan peguam dahulu, dan mahkamah juga keberatan untuk berbuat demikian (memanjangkan perbicaraan).

Jika mereka menerima cadangan saya, kita akan melaluinya dengan tiga bulan perbicaraan sahaja, dan kemudian akan ada reserved judgement, dan hakim boleh memberikan penghakiman. Dan itulah yang berlaku di Mahkamah Rayuan dan, lebih kurang di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan memberi tempoh 10 hari, Mahkamah Rayuan memberi 15 hari, jadi kedua-dua mahkamah itu lebih terbuka dengan apa yang kita cadangkan.

Mengenai masalah penstrukturan. Saya masih ingat dalam buku anda, anda ada menyentuh tentang bagaimana - dalam kes jenayah - terdapat juga keperluan dalam dokumen asal untuk maker (orang yang membuat atau menghasilkan sesuatu) dipanggil. Dan ini melambatkan proses mahkamah. Bolehkah anda jelaskan tentang perkara itu dan sama ada terdapat isu penstrukturan lain dalam undang-undang yang menyebabkan perbicaraan jenayah berlangsung sekian lama?

Beberapa negara telah bergerak ke hadapan untuk jenayah kolar putih. Tetapi Malaysia tidak. Jadi Malaysia masih memerlukan, dalam kes jenayah, untuk dokumen asal dikemukakan oleh maker. Sebelum ini, saya bercakap tentang resolusi, dokumen KWAP (Kumpulan Wang Persaraan), minit dan sebagainya. Jadi, terdapat setiausaha syarikat tampil dan berkata, "Saya adalah setiausaha syarikat pada tarikh sekian-sekian, ini adalah buku minit asal, ini adalah resolusinya."

Jadi, jika anda tidak mempunyai dokumen asal, ia tidak diterima?

Betul… Sedangkan dalam kes sivil, segala-galanya dilakukan dengan salinan fotokopi dan semua orang yang berkenaan mempunyai sekumpulan dokumen: peguam plaintif, peguam defendan, hakim dan saksi, semuanya mempunyai salinan. (Tetapi) jika salah seorang daripadanya mencabar keaslian dokumen - jika seseorang mengatakan bahawa ia bukan dokumen tulen - anda perlu bawa dokumen asal.

Dalam banyak-banyak pengalaman perbicaraan saya, tidak pernah ada keperluan untuk membawa maker atas sebab pemalsuan atau sebagainya. Jadi saya fikir dalam perbicaraan kes SRC, kami memanggil 50 atau 60 saksi, dan mungkin 20 hanya maker. Mereka adalah saksi nominal, malah tidak banyak pemeriksaan balas juga, kerana dia hanya akan mengesahkan, "Ya, itu adalah dokumen saya".

Jadi negara lain telah memperkenalkan peruntukan baru: mendesak peguam untuk bertukar dokumen dan mencapai persetujuan. Dan jika mereka tidak mencapai persetujuan, maka hakim perbicaraan akan mengambil pendekatan yang sangat praktikal dalam pengurusan kes dan berkata: “Apakah dokumen yang anda bantah? Mengapa? Kenapa anda memerlukan maker?" Dan kemudian hakim memutuskan (berhubung kes itu) sebelum perbicaraan, jadi semuanya akan menjadi lebih lancar.

Jadi salah satu perkara yang saya fikirkan semasa saya menjadi peguam negara ialah untuk meminda Kanun Prosedur Jenayah agar mempunyai ‘trials by photocopies’. Itulah cara paling mudah untuk difahami. Malangnya, ia tidak menjadi kenyataan.

Mengenai perkara berkaitan, dari mahkamah majistret pada awalnya, ke mahkamah tinggi hingga berakhir di Mahkamah Persekutuan, peguam bela sentiasa mengemukakan permohonan seperti gag order (arahan kes tidak diperkatakan kepada umum), permohonan penangguhan untuk melengah-lengahkan perbicaraan. Adakah anda fikir terdapat dakwaan yang sah yang boleh dikatakan bahawa terdapat usaha konsisten untuk melengahkan prosiding atau adakah anda fikir permohonan tersebut sah?

Jangan lupa bahawa proses litigasi adalah bertentangan, oleh itu saya mungkin berat sebelah. Biasanya, plaintif yang mendengar permohonan defendan akan berfikir, bahawa ia adalah suatu pembaziran masa, remeh dan sebaliknya. Itu adalah sifat manusia, begitu juga antara pendakwaan dan pembelaan.

Sebaik saja anda menerima sifai berat sebelah ini, saya fikir kebanyakan permohonan oleh pihak pembelaan adalah remeh dan tanpa merit. Saya fikir semuanya dibantah. Saya tak ingat mana permohonan yang dikekalkan. Tetapi pembelaan melakukannya, dan mahkamah perlu membuat keputusan dengan cepat, di mana hakim dalam kes ini akan melakukannya.

Silap kami adalah pada penangguhan dan masa, yang mana saya telah jelaskan tadi. Sistem mahkamah kita mungkin mudah dari segi penangguhan, dan sekali lagi, itu adalah masalah Malaysia. Sistem perundangan Malaysia terkenal dengan penangguhan yang mudah. Kita selalu begitu. Sama seperti India, yang terkenal di dunia ini dengan penangguhan yang mudah, dan akibatnya berdepan dengan kelewatan.

Ia adalah endemik.

Adakah anda fikir sistem itu perlu diubah, dan mungkin struktur baru dilaksanakan agar perbicaraan lebih pantas?

Saya setuju, tapi terdapat - pertama sekali - ia mendapat tentangan yang hebat daripada Badan Peguam, jadi kita salahkan peguam terlebih dahulu.

Peguam di Malaysia, adalah yang pihak yang pertama menentang sebarang pembaharuan. Kita mungkin boleh ada jawatankuasa (membabitkan) hakim, hakim bersara, Jabatan Peguam Negara dan Badan Peguam, dan memutuskan: "Kita tidak boleh teruskannya, kita mesti adakan perbicaraan dengan lebih cepat dan lebih cekap". Jadi, pada asasnya, paksa peguam untuk perbaiki sistem.

Sebahagian besar kes pembelaan adalah bergantung kepada kemungkinan berat sebelah. Mereka berpendapat bahawa terdapat konflik hakim Nazlan ketika di peringkat mahkamah tinggi, kerana dia adalah ketua penasihat undang-undang Maybank, kemudian mereka cuba menggugugurkan (ketua hakim) Tengku Maimun (Tuan Mat) disebabkan hantaran Facebook suaminya. Adakah terdapat unsur berat sebelah, dan jika ia benar, sejauh manakah ia mempengaruhi keputusan tersebut?

Semua perkara ini berlaku di Mahkamah Persekutuan, bukan di mahkamah tinggi. Jadi saya tidak ada pengetahuan berhubung perkara ini secara peribadi kerana saya tidak berada di mahkamah persekutuan. Dan pengetahuan saya adalah sama seperti orang lain dalam domain awam.

Tetapi ya, saya sentiasa menenangkan pasukan saya dengan memberitahu mereka bahawa perkara seperti ini memang berlaku, dan apabila permohonan (berat sebelah) sedemikian dibuat, itu adalah petanda jelas bahawa pihak yang membuat permohonan sedemikian tidak mahu kes itu dibicarakan berdasarkan merit.

Apabila anda mempunyai kes yang lemah dari segi merit, dan merit itu sama ada undang-undang, fakta, saksi, dokumen atau keseluruhan kes (adakah kita akan menang atau kalah?).

Apabila peguam mempunyai kes yang lemah dari segi merit, mereka beralih kepada permohonan sedemikian. Dan ini adalah helah lama. Jadi anda hanya perlu melihat mereka dengan tenang dan tenteram, hadapi saja mereka.

Mahkamah Persekutuan memberi mereka 10 hari, yang merupakan (tempoh) sangat selesa, kerana ini adalah mahkamah tertinggi. Biasanya anda bernasib baik jika anda mendapat satu hari untuk pendengaran rayuan. Najib mendapat 10 hari yang ditetapkan kira-kira lima bulan lalu. Namun dia datang ke mahkamah dan tidak mahu meneruskan rayuannya atas merit. Jadi ia memberi gambaran tentang kekurangan merit dalam rayuannya.

Mengenai perkara yang sama, saya terkejut apabila melihat di Mahkamah Persekutuan, dengan beberapa peguam terbaik dari kedua-dua belah pihak, akhirnya pihak pembelaan tidak mengemukakan satu pun hujahan baru. Seberapa jarang perkara sebegini berlaku di mahkamah tertinggi?

Ia benar-benar luar biasa. Cara terbaik untuk memahami tingkah laku sedemikian adalah jika anda bertanya kira-kira seminggu sebelum ia terjadi kepada mana-mana peguam atau hakim di seluruh dunia dalam perundangan biasa, iaitu 60 negara (dalam Komanwel British) - ia boleh jadi Jamaica, Nigeria, India, Hong Kong atau Kanada, kerana kita semua berkongsi perundangan yang sama - dan jika anda beritahu peguam atau hakim di mana-mana negara ini, “Tengok, inilah yang akan terjadi apabila rayuan dibuat, mereka diberi 10 hari, dan inilah yang akan berlaku,” kesemua mereka akan berkata ia tidak mungkin berlaku, anda memberitahu kami kisah rekaan, peguam tidak akan berkelakuan begini.

Ia sangat luar biasa kerana ia seperti membunuh diri dan kamikaze (berani mati). Kerana akhirnya, tugas pertama seorang peguam adalah kepada anak guamnya - untuk memelihara kepentingan anak guamnya. Bagaimanakah kepentingan kliennya (anak guamnya) dapat dilindungi oleh sikap kamikaze seperti ini?

Klien kini berada di penjara. Tiada sesiapa dalam dunia perundangan yang biasa dapat meramalkan perkara itu. Mereka mencipta kecelakaan kepada diri sendiri. Ia dilakukan oleh mereka sendiri.


Bahagian 1: Thomas - Mengapa SRC jadi kes pertama berkait 1MDB

Esok: Keputusan dan kesan keputusan Mahkamah Persekutuan