Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelajar cemerlang STPM tanpa kad pengenalan ditawar universiti, biasiswa

Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) Muhammad Omar Mokhtar Abdul Rahman yang tidak mempunyai kad pengenalan berpeluang mengejar cita-citanya sebagai pendidik selepas menerima tawaran biasiswa dan melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurut laporan Sinar Harian, Naib Canselor UUM Haim Hilman Abdullah melawat pelajar cemerlang itudi sekitar Pokok Sena di Kedah hari ini.

Dalam lawatan itu, Omar dilaporkan telah ditawarkan biasiswa serta surat tawaran belajar di UUM.

"Suka saya menyatakan bahawa UUM sedia untuk menawarkan biasiswa kepada mereka jika memilih universiti ini untuk melanjutkan pelajaran.

"Di mana jua pilihan universiti dibuat oleh anak-anak ini, UUM sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka," kata Haim Hilman seperti dilapor.

Selain Omar, Haim turut melawat Salmah Aminudin, Nurasyikin Azizan. Ketiga-tiga mereka mempunyai purata mata gred kumulatif 4.0 dalam peperiksaan STPM 2021 mereka.

Sementara itu, Kosmo melaporkan Kolej Universiti Islam Perlis (Kuips) menawarkan biasiswa penuh buat Omar dan Salmah yang akan ditaja oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips).

“Kuips telah menghubungi pelajar terbabit untuk menawarkan biasiswa penuh tajaan Maips termasuk yuran pengajian penuh sepanjang tempoh pengajian mereka.

“Ia juga termasuk penginapan asrama sehingga tamat pengajian, elaun sara hidup RM300 sebulan juga sehingga tamat pengajian, dan tiada yuran pendaftaran akan dikenakan kepada mereka,” kata kolaj universiti itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

“Jika mereka tidak diberi bantuan, sudah pasti kita akan kehilangan dua permata yang bakal mewarisi negara ini pada masa hadapan,” tambahnya.

Sementara itu, laporan Sinar Harian memetik Omar berkata dia akan mempertimbangkan tawaran UUM.

"Saya bersyukur kerana menerima kunjungan Naib Canselor UUM dan bersedia mempertimbangkan peluang itu kerana bimbang proses mendapatkan kad pengenalan mengambil masa lama.

"Saya bercita-cita sejak kecil untuk menjadi pendidik seperti pensyarah ataupun guru dan bagi memenuhi impian itu, saya perlu melanjutkan pengajian ke peringkat IPT," katanya.

Pada hari Isnin minggu lalu, kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty menyorot nasib Omar yang hilang kerakyatan pada umur 12 tahun.

Apabila bapanya membawanya memohon MyKad, Jabatan Pendaftaran Negara menandakan kejanggalan yang tidak dinyatakan mengenai identiti ibunya yang tidak dapat dikesan dan menarik balik kewarganegaraannya.

Omar memberitahu pemberita pada sidang akhbar itu bahawa dia tidak dapat membuka akaun bank atau mendapatkan lesen memandu kerana tiada dokumen pengenalan diri, dan menganggap peluangnya untuk melanjutkan pelajaran adalah tipis.

Dia dilaporkan berjaya membimbing rakan-rakannya, yang kesemuanya mendapat PNGK melebihi 3.0 dalam STPM mereka.

"Setiap seorang daripada mereka masuk universiti tetapi dia ketinggalan. Tiada sebab untuk perkara ini berlaku," kata aktivis hak kanak-kanak Hartini Zainuddin pada sidang media itu.

Media juga telah menyoroti nasib seorang lagi pelajar cemerlang STPM, Salmah baru-baru ini, yang mempunyai pilihan terhad disebabkan latar belakang keluarga yang miskin dan kos pengajian tinggi.

Nasib mereka juga telah menarik perhatian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang menghadiahkan Omar dan Salmah masing-masing RM1,500 semasa Jelajah Keluarga Malaysia di Alor Setar pada Jumaat lalu.