Najib masuk hospital kerana sakit perut, kata anaknya
Bekas perdana menteri Najib Razak sedang menjalani rawatan kerana masalah sakit perut yang berulang, kata anaknya Nooryana Najwa hari ini.
Melalui Instagram, Nooryana, yang lebih dikenali sebagai Yana,berkata bapanya sangat terdedah kepada ulser perut, "sangat terdedah" kepada ulser perut jika di bawah tekanan atau disebabkan gastrik.
"Kali terakhir daddy kena ulser perut tahun lalu sehingga pengsan akibat pendarahan dalaman dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama seminggu untuk rawatan susulan.
"Sebelum ini, pada 2010, dia juga dimasukkan ke hospital untuk rawatan pendarahan ulser di perut dan menghabiskan tiga hari di sana," tulisnya.
Menurut Yana, bapanya adalah jenis seorang yang susah untuk mengadu mengenai kesakitan dialaminya kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.
"Pada masa dia menunjukkan gejala, biasanya ia sudah terlambat. Kedua-dua kejadian pada masa lalu, kami menyedarinya terlalu lewat dan oleh itu, memerlukan rawatan perubatan yang serius, termasuk pemindahan darah," katanya.
Yana seterusnya melahirkan harapan agar Najib mendapat pemeriksaan dan rawatan rapi di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL), tempat dia dilaporkan dimasukkan semalam.
"Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan kesihatan dan kekuatan Daddy. Kami sangat berharap daddy mendapat pemeriksaan dan rawatan dengan kerap jika diperlukan oleh pihak penjara dan hospital.
"Tolong jagakan Daddy kami dan Bossku. Dia amat bermakna buat kami. Semoga Allah merahmati kami semua," katanya.
Pada 23 Ogos, ahli parlimen Pekan itu mula menjalani hukuman 12 tahun penjara atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berhubung penyelewengan dana RM42 juta daripada SRC International - sebuah syarikat milik kerajaan - semasa menjadi perdana menteri.
Dia telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja, dan statusnya sebagai ahli parlimen akan diputuskan pada akhir proses petisyen itu.
Pagi ini, Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, untuk perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapinya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai