Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BN Sabah akan bekerjasama dengan GRS jika ada persefahaman

Timbalan Pengerusi BN Sabah, Yakub Khan mengesahkan terdapat rundingan antara BN Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung kerjasama dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun katanya, rundingan berkaitan kerusi parlimen yang akan ditandingi dalam PRU15 belum dimuktamatkan.

“Di peringkat Sabah memang kita ada mengadakan perundingan dengan GRS namun kita belum mendapat kata putus, tapi insya-Allah dalam masa terdekat kita akan perhalusi antara kedua-dua pihak untuk pembahagian kerusi.

“Kalau kita mendapat persetujuan yang sama rata, kalau kita ada persefahaman, insya-Allah kita akan kerjasama, tapi kalau tidak ada persefahaman, BN bersedia untuk bertanding bersendirian,” kata Yakub seperti dilapor Astro Awani.

Yakub Khan

GRS terdiri daripada Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Kenyataan Yakub sekali gus menunjukkan terdapat rudingan antara Umno dan Bersatu berhubung kerjasama dalam pilihan raya di Sabah.

Selain Sabah, Umno Pulau Pinang, Selangor dan Kedah juga menunjukkan kesediaan untuk meneroka kerjasama dengan parti lain, khususnya PAS.

Bagaimanapun, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sejak beberapa bulan lalu tetap dengan pendirian bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan PAS.