Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Guan Eng: Ringgit yang lemah lonjakkan hutang

Kerajaan persekutuan digesa menjelaskan bagaimana kerajaan berhasrat menjelaskan hutang luar negara yang melonjak akibat kedudukan ringgit yang semakin lemah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata ringgit semakin menghampiri paras RM4.50 berbanding dolar AS.

Bekas menteri kewangan dan ketua menteri Pulau Pinang itu memberi amaran ringgit yang semakin lemah akan menyebabkan rakyat Malaysia menanggung kos lebih tinggi untuk membayar pinjaman dalam tukaran mata wang asing.

Merujuk bon sukuk RM5.3 bilion yang dikeluarkan kerajaan pada April 2021 ketika dolar AS bersamaan RM4.12, Lim berkata jika kadar pertukaran semasa (RM4.45 berbanding dolar AS) kekal tidak berubah menjelang 2052, Malaysia perlu membayar balik RM8.6 bilion dalam prinsipal dan faedah.

Lebih membimbangkan, kata Lim, tiga bon dalam dolar AS yang berjumlah AS$7.5 akan matang dalam tempoh dua tahun akan datang.

Lim berkata bon berkenaan diterbitkan apabila nilai ringgit adalah bersamaan RM3.35 berbanding dolar AS.

“Pada kadar pertukaran RM4.45 berbanding dolar AS, jumlah pokok yang perlu dibayar untuk AS$7.5 bilion akan lebih tinggi pada RM29 bilion — atau RM7.2 bilion lebih.

“Ringgit yang lebih lemah pada tahun ini bermakna kos faedah tahunan hampir kepada RM1.5 bilion berbanding RM1 bilion,” kata Lim.