Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan pelajar bangkit isu penginapan siswa Universiti Malaya

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mengkritik Universiti Malaya berhubung dakwaan isu penginapan yang dihadapi pelajarnya.

Umany mendakwa ramai pelajar B40 berpencapaian tinggi gagal mendapat penempatan di kolej kediaman universiti itu.

"Umany mengutuk sikap tidak bertanggungjawab pihak universiti kerana mendiamkan diri dalam isu yang serius ini.

"Hampir 9,000 mahasiswa-mahasiswi gagal menepati kolej kediaman pada tahun ini.

"Ia juga merupakan sejarah kekukangan bilik kolej kediamanan yang terburuk dalam sejarah UM," kata kesatuan siswa itu pada satu kenyataan hari ini.

Ia mengaitkan punca isu itu disebabkan pengambilan pelajar universiti yang bertambah tahun ini dan kekurangan ketelusan dalam sistem aplikasi kolej kediaman universiti.

Ia menambah pelajar tidak mempunyai kuasa untuk menguruskan kolej kediaman.

"Pemilihan penghuni penempatan kolej kediaman yang layak adalah tanggungjawab sepenuh Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaya (HEP).

"Suara siswa juga mengambil kesempatan untuk memperkenalkan ketelusan dalam proses pemilihan tersebut sebagai salah satu agenda manifestonya sejak beberapa tahun lalu.

"Sebagai inisiatif, kami berhasrat untuk mengambil alih jawatankuasa pemilihan penghuni penempatan kolej kediaman tetapi permintaan ini telah ditolak oleh pihak pentadbiran banyak kali.

"Sebelum ini, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) meminta pihak HEP mengumumkan syarat pemilihan kolej kediaman secara berterusan.

"Dukacitanya, tiada sebarang pengumuan rasmi oleh HEP sehingga akhir semester.

"Oleh itu, KMUM terpaksa mengambil alih tanggungjawab HEP untuk menyebarkan maklumat-maklumat yang berkaitan kepada semua mahasiswa," katanya.

Oleh itu, Umany menuntut pihak pentadbiran UM untuk mengembalikan Rumah Sewa KMUM kepada mahasiswa dan pengurusan mahasiswa dan memberikan hak pentadbiran KPS kepada KMUM.