Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Banjir Pakistan: 57 maut, 7,683 cedera dalam tempoh 24 jam

GLOBAL | Sekurang-kurangnya 57 orang maut, manakala 7,683 lagi cedera akibat banjir kilat di Pakistan yang dicetuskan hujan monsun dalam tempoh 24 jam lepas, menurut laporan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) pada Jumaat.

Sekurang-kurangnya 17 kanak-kanak dan 18 wanita antara yang terkorban dalam insiden banjir di seluruh negara, lapor Xinhua.

Wilayah Sindh ialah kawasan paling teruk terjejas dengan angka kematian mencecah 38 manakala 7,204 lagi cedera, diikuti wilayah Khyber Pakhtunkhwa (17 kematian), dan di wilayah Punjab (471 orang cedera).

Jumlah kematian di Pakistan sejak pertengahan Jun telah meningkat kepada 1,265 manakala 12,577 yang lain cedera, menurut statistik terkini NDMA.

NDMA memaklumkan sekitar 169,676 orang diselamatkan, dan 627,793 lagi ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Selain itu, dianggarkan sebanyak 1,427,039 kediaman musnah, manakala 735,584 ternakan mati akibat banjir di seluruh negara.

NDMA, pertubuhan kerajaan, sukarelawan serta pertubuhan bukan kerajaan sedang giat menjalankan misi bantuan dan menyelamat di kawasan terjejas.

Dalam perkembangan berkaitan, Qatar akan menubuhkan hospital lapangan di Pakistan sebagai sebahagian usaha membantu mangsa banjir di negara itu.

Negara Teluk itu turut mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat ke kawasan yang dilanda banjir, lapor Agensi Berita Qatar.

Hospital itu bakal dikendalikan 93 kakitangan dan sedang dibangunkan di wilayah Sindh, ciap Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif di Twitter pada Jumaat.

Sementara itu, dua pesawat kargo tentera C-17 Qatar membawa bantuan kemanusiaan mendarat di Karachi pada Jumaat.

- Bernama