Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dua beradik rentung, kebakaran di Kg Dato Sulaiman Menteri

Dua beradik rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri di Johor Bahru tengah hari tadi.

Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang, yang juga Pemangku Pengarah JBPM Negeri Johor, berkata kejadian pada 1.41 tengah hari itu mengorbankan Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2.

Beliau berkata seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau dan Larkin dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pemadaman awal telah dilakukan oleh orang awam menggunakan jirusan air paip dan tindakan pemadaman susulan dilakukan pihak bomba dengan menggunakan jentera fire rescue tender.

“Dua mangsa telah ditemukan rentung di ruangan bilik tidur dan kebakaran telah mengakibatkan kemusnahan 60 peratus daripada keseluruhan bilik,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rizal berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih disiasat.

Beliau berkata ketika kejadian, terdapat tiga individu di dalam rumah tersebut iaitu mangsa dan ibu mereka.

Ibu mereka bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kita akan menyiasat dengan teliti termasuk meminta bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba.

“Unit K9 dalam perjalanan ke Johor dari Kuala Lumpur,” katanya.

- Bernama