Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAS sasar golongan muda 'jahil agama, politik' untuk menang PRU15

MUKTAMAR PAS | Golongan muda Muslim yang dianggap "jahil" akan menjadi antara sasaran utama PAS bagi mendapatkan sokongan buat parti berkenaan dalam PRU akan datang.

Menurut Abdul Hadi Awang golongan pengundi muda - sama ada lelaki atau perempuan - perlulah dijadikan tumpuan oleh PAS kerana mereka boleh menjadi penentu kemenangan parti.

"Undi penentu daripada kalangan anak muda lelaki dan wanita perlu menjadi tumpuan dan sasaran, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri yang jahil agama dan lebih jahil lagi dalam aspek politik yang menjadi penentuan masa depan umat," katanya.

Menurut ahli parlimen Marang itu lagi, kejahilan kesan daripada serangan pemikiran melalui pendidikan dan media sangat mendalam, khususnya media sosial yang dirancang dengan perbelanjaan yang besar.

"Maka perlu ditangani dengan kesungguhan dan berhikmah.

"Bagi menghadapi faktor kritikal ini, jentera pilihan raya hendaklah berupaya menguasai maklumat anak muda dengan menguruskan maklumat melalui bilik operasi bersepadu, dan memaksimumkan keupayaan kempen media baru bagi menyantuni mereka," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar PAS ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di Alor Setar, hari ini.

Sehubungan itu Abdul Hadi berkata pemuda dan muslimat PAS perlu bergerak secara kreatif dan inklusif untuk menarik sokongan anak muda dan wanita yang akan menjadi ‘undi penentu’ dalam PRU ke-15.

Ujarnya, peranan jumlah undi sangat penting bagi kemenangan pilihan raya mengikut konsep demokrasi.

"Maka gerakan menarik pengundi seramainya menjadi tugas utama.

“Faktor kritikal kemenangan PAS dalam PRU ke-15 ialah sejauh mana jentera pilihan raya berupaya untuk menguasai sikap pengundi muda yang sebahagian besarnya merupakan pengundi pertama kali yang dikatakan tidak berminat dengan isu-isu politik," jelasnya.

Kata Abdul Hadi untuk memenangi sesuatu pilihan raya, jumlah undi sangat penting. Justeru katanya gerakan menarik seramai mungkin pengundi menjadi tugas utama buat ahli dan penyokong parti berkenaan.

Ketika tarikh sebenar PRU ke-15 terus menjadi tanda tanya, parti politik memberi tumpuan kepada pengundi muda selepas pelaksanaan pendaftaran automatik dilaksanakan.

Perlembagaan juga sudah dipinda bagi membolehkan umur minimum pengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya, setakat Feb lalu, jumlah pengundi Malaysia kini mencecah 21,056,108 orang, peningkatan sebanyak 40.90 peratus (6,115,484 pengundi) berbanding PRU 2018.

Sebanyak 26 kawasan parlimen telah mendapat pertambahan lebih 50,000 pengundi dengan kebanyakannya terletak di Selangor dan Johor.