Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

DAP raih RM1.3 juta untuk kempen PRU15 melalui NFT 'Langkah Sheraton'

Sejumlah 8,888 unit salinan digital lukisan "Langkah Sheraton" hasil karya Ahli Parlimen Damansara Tony Pua telah terjual dan berjaya meraih RM1.3 juta untuk digunakan sebagai dana kempen DAP dalam PRU akan datang.

Dalam kenyataan hari ini, Pua berkata semua aset Non-Fungible Token (NFT) untuk lukisan itu telah ditempah atau terjual hanya dalam tempoh 28 jam selepas ia dilancarkan pada 31 Ogos lalu, sempena sambutan Hari Merdeka.

Pua berkata aset Non-Fungible Token (NFT) itu kini dibuka untuk didagangkan di platform Opensea dan DAP akan terus menerima royalti untuk setiap transaksi.

Lukisan minyak itu berukuran 121cm x 152cm dilukis pada kanvas.

Pua memulakan lukisan itu - yang memaparkan 15 personaliti politik yang dikenali umum - ketika perintah kawalan pergerakan pada 2020 dan selepas "Langkah Sheraton" yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.

Selepas siap sepenuhnya tahun lalu, ia sempat dipamerkan di Theatre Impian, Bukit Jalil.

Ketika pengumuman penjualan lukisan itu bulan lepas, ahli parlimen DAP itu berkata dia memilih untuk "menjual" karyanya dalam bentuk NFT agar ia boleh dimiliki bersama secara bermakna oleh rakyat Malaysia.

"Penjualan yang lazim menerusi bidaan. Mungkin seorang taukeh akan belinya pada harga beberapa ribu ringgit dan biasanya ia akan disimpan di bilik simpanan atau galeri peribadi pengumpul, manakala tiada galeri milik kerajaan yang akan mendapatkan karya kontroversi atau 'sensitif' seumpama ini, walaupun penting dari aspek sejarah," katanya ketika itu.