Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes rasuah projek solar hibrid: Rosmah fail rayuan

Rosmah Mansor hari ini memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi mengketepikan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah di atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar bernilai RM1.25 bilion.

Peguamnya, Meor Hafiz Salehan, dari firma guaman Akberdin & Co, mengesahkan bahawa isteri bekas perdana menteri yang sedang dipenjarakan, Najib Razak itu telah memfailkan notis rayuannya petang ini.

Ketika dihubungi, peguam itu menambah bahawa dia juga telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan supaya hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan dalam kes solar tersebut.

Rosmah merayu keputusan semalam atas tiga pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan projek untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Semalam, Zaini yang melakukan penilaian maksimum terhadap kes itu, mendapati Rosmah gagal untuk menyangkal anggapan rasuah mengikut Seksyen 50 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata pembelaan Rosmah adalah penafian kosong semata-mata yang dibuat tanpa bukti yang boleh dipercayai dan tidak berasas bagi menimbulkan keraguan yang munasabah.

Rosmah didakwa meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd iaitu Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya, Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Zaini kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta kepada Rosmah serta tambahan 30 tahun penjara lagi jika dia gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, dia membenarkan penangguhan pelaksanaan pelaksanaan hukuman itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim perbicaraan itu juga menolak permohonan Rosmah agar dia digugurkan daripada mengadili perbicaraan kes rasuah projek tenaga solar hibrid tersebut atas alasan yang dikaitkan dengan dakwaan kebocoran penghakiman mahkamah.