Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Prosiding muflis dimulakan di AS terhadap syarikat berkait 1MDB

Pihak berkuasa (pelikuidasi) telah memulakan prosiding kebankrapan (Bab 15) di AS melibatkan sekumpulan entiti yang dikaitkan dengan jejak wang penyelewengan dari 1MDB.

Sebanyak sembilan entiti telah dinamakan dalam pemfailan mahkamah yang dibuat di Mahkamah Kebankrapan Daerah Selatan Florida semalam, termasuk Brazen Sky Limited, Aabar Investments PJS Limited, dan Tanore Finance Corporation.

“Walaupun butiran umum penipuan itu telah dilaporkan secara meluas, tahap penuh penipuan itu tidak diketahui.

“Pembubaran Penghutang merupakan sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk mengesan dan mendapatkan semula dana yang diselewengkan melalui 1MDB,” kata pelikuidasi dalam dokumen mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini.

Untuk rekod, pelikuidasi (penyelesai) dilantik oleh mahkamah undang-undang bertindak membubarkan aset atau memeliharanya untuk faedah pihak yang terlibat.

Ini berikutan prosiding serupa sejak Mei di mahkamah sama yang berpusat di sekitar satu lagi entiti berkaitan 1MDB – SRC International.

Bab 15 merujuk kepada peruntukan dalam undang-undang kebankrapan AS yang membenarkan orang atau entiti asing memfailkan kebankrapan di AS, dan dengan itu mengambil kesempatan daripada sistem mahkamah AS untuk berurusan dengan aset di negara itu.

Dalam kes ini, pelikuidasi sedang mencari pengiktirafan AS untuk proses pembubaran syarikat yang sudah berlaku di Kepulauan Virgin British dan Kepulauan Cayman.

“Sejak pelantikan mereka, pelikuidasi telah mengambil beberapa langkah untuk mengenal pasti, menjamin dan mengambil alih pemilikan mereka serta mengawal aset dan rekod Penghutang.

"Pelikuidasi telah mengenal pasti pelbagai individu dan entiti di Amerika Syarikat yang sama ada mengambil bahagian atau sebaliknya memiliki pengetahuan berkaitan urus niaga di atas.

“Pelikuidasi juga percaya sebahagian daripada dana penghutang yang hilang terletak di Amerika Syarikat kerana beberapa dana yang hilang melalui entiti AS.

“Oleh itu, pelikuidasi memfailkan peruntukan undang-undang Bab 15 ini untuk (i) mendapatkan maklumat daripada pihak ketiga ini dan meneruskan penyiasatan mereka mengenai kehilangan dan penyelewengan dana penghutang, dan (ii) setakat mereka menempatkan sebarang aset, mengawal dan mencairkannya sama untuk faedah harta penghutang,” kata mereka dalam pemfailan mahkamah.

Senarai penuh penghutang yang terlibat dalam prosiding itu ialah: Brazen Sky Limited, Aabar Investments PJS Limited, Tanore Finance Corporation, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited, Vasco Investment Services SA, Selune Limited, Pacific Rim Global Growth Limited, Affinity Equity International Partners Limited, Bridge Global Absolute Return Fund SPC.

[Baca berita asal]