Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam Rosmah bidas denda RM970 juta

Peguam bela Rosmah Mansor mengkritik denda RM970 juta yang dikenakan ke atas anak guamnya dalam sabitan tiga pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta kepada Rosmah Mansor dengan tambahan 30 tahun penjara jika gagal membayar denda itu.

Dalam sidang akhbar selepas perbicaraan hari ini, peguam Jagjit Singh menegaskan bahawa denda yang dikenakan itu tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah sistem perundangan Malaysia.

“Denda ialah RM970 juta, iaitu hampir satu bilion ringgit. Anda beritahu saya, adakah sesiapa mampu membayar jumlah itu? Saya sendiri tidak mampu.

"Sekarang anak guam kami perlu mendapatkan hampir RM1 bilion, dan dia tidak mempunyai sumber pendapatan," katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Dia berkata bahawa notis rayuan telah diberikan kepada mahkamah, sambil menambah bahawa proses itu mungkin akan mengambil masa kira-kira enam bulan.

Jagjit turut kesal dengan keputusan mahkamah menolak permohonan mereka untuk menyingkirkan hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan daripada kes itu.

“Anak guam kami boleh pulang ke rumah dan bersama keluarganya malam ini.

“Kami akan memfailkan rayuan dalam masa yang ditetapkan paling awal bagi keseluruhan penghakiman ketiga-tiga kes itu.

“Akan ada juga notis rayuan ke atas permohonan (untuk menyingkirkan hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan) yang ditolak, yang sepatutnya kita dibenarkan merayu tetapi tidak mengapa kerana kita semua melakukan kesilapan dalam hidup,” katanya.

Dua hari lalu, Rosmah memfailkan permohonan itu saat-saat akhir, dengan memberikan alasan berkaitan dakwaan kebocoran penghakiman mahkamah yang mendapati dia bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

Satu pertuduhan menuduh Rosmah meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan lain menuduhnya menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsuddin, melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Suria Fotovoltaik Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak.

Zaini hari ini mensabitkan Rosmah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta sebagai ganti penjara tambahan 30 tahun, dengan hukuman penjara bermula dari tarikh hukuman hari ini.

Bagaimanapun, Zaini membenarkan permohonan defendan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu penyelesaian rayuan di Mahkamah Rayuan.