Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PN, BN perlu bincang jika ingin tawan Selangor, kata PAS

PAS, Perikatan Nasional (PN) dan BN perlu kembali ke meja rundingan jika ingin menawan kembali Selangor, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, begitu juga dengan 27 kerusi yang dirasakan akan bertembung pada pilihan raya umum ke-15 (PRU150 akan datang.

"Kita tengok ada beberapa perkara yang perlu untuk duduk bersama contoh kalau kita nak tawan Selangor, saya fikir PAS, PN dan BN perlu duduk bersama.

"Begitu juga 27 kerusi yang kritikal kita rasa akan bertembung, bagaimanapun terpulang... PAS kita terbuka dalam hal ini untuk lihat kepentingan tersebut walaupun dari segi parti kita bersedia dari segi situasi.

"27 kerusi yang kita rasa kalau bertembung kedua-dua parti akan rugi. PN rugi, BN pun rugi. Kerusi itu kita akan adakan rundingan kalau sekiranya mereka bersetuju tapi bagi PAS mengenai PRU tiada isu," katanya pada sidang media di Alor Setar, Kedah, hari ini.

Tuan Ibrahim terlebih dulu merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda PAS.

Hadir sama, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

Pada 12 Ogos lalu, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki, berkata parti itu perlu segera mencari jalan mewujudkan "kerusi Muafakat Nasional" bersama dengan Umno-BN.

Ia bagi mengelak pertembungan sesama mereka di 27 kerusi yang dilihat memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PRU15 boleh diadakan pada bila-bila masa saja sekarang dan Muafakat Nasional (MN) adalah kaedah yang mampu menafikan kemaraan PH.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata 27 kerusi kritikal perlu dibincangkan selain menegaskan yang PAS mendukung penyatuan ummah.

Katanya sehingga kini belum ada perbincangan dengan BN mengenai perkara itu.

"Beluam ada (rundingan), cuma hubungan kita dalam konteks kerajaan persekutuan, sangat baik tiada masalah.

"Cuma dalam konteks parti belum. Kerusi dimenangi oleh PH akibat pertembungan antara PN-BN. Contoh Raub, Bentong, maknanya 27 kerusi ini memerlukan rundingan dengan BN.

"Sebab 27 kerusi ini ada yang PAS menang, ada yang Umno menang," katanya lagi.