Rosmah dakwa dirinya mangsa selepas didapati bersalah
Seluruh perhatian bertumpu kepada Rosmah Mansor hari ini, sama ada dia akan menyusuli suaminya, Najib Razak dengan didapati bersalah atau dibebaskan daripada kes rasuah berhubung projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Namun, dalam langkah saat-saat akhir, Rosmah dua hari lalu memfailkan permohonan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes ini.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka akan mengendalikan permohonan itu terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menyampaikan keputusan tiga pertuduhan rasuah terhadapnya.
Malaysiakini akan memberikan laporan langsung prosiding hari ini.
Rosmah, beredar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
4.52 petang: Rosmah Mansor dilihat beredar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan ditemani anak perempuannya Nooryana Najwa Najib dan rombongan mereka.
Sri Ram beredar
4.47 petang: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram meninggalkan kompleks mahkamah selepas mengadakan sidang media di lobi bangunan berkenaan.
Saya tidak dapat melakukannya tanpa pasukan saya - Sri Ram
4.34 petang: Timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram memberikan sebahagian besar penghargaan dan kepujian kepada pasukan pendakwa raya dalam keputusan yang mendapati Rosmah Mansor bersalah hari ini.
"Saya tidak dapat menjalankan tugas saya jika saya tidak mendapat sokongan padu yang mereka berikan kepada saya," katanya kepada pemberita semasa sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
"Saya mungkin sedikit tidak laju tetapi bukan mereka," tambahnya.
Ketika ditanya sama ada dia gembira dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas Rosmah, dia berkata bukan tugas pendakwa raya untuk bergembira atau tidak bergembira, tetapi mereka hanya menjalankan tugas.
Dia berkata tujuan perbicaraan ini adalah untuk menghantar mesej yang jelas kepada pesalah supaya "henti menerima rasuah” dan untuk menghatar mesej kepada orang ramai bahawa penguatkuasa telah menjalankan tugas mereka.
Peguam: Denda RM970 juta 'terbesar dalam sejarah Malaysia'
4.21 petang: Ketika berucap kepada media, peguam Jagjit Singh mempersoalkan denda RM970 juta ke atas Rosmah, yang menurutnya merupakan denda terbesar yang dikenakan dalam sejarah perundangan Malaysia.
Dia menambah bahawa pelanggannya tidak mempunyai sumber pendapatan untuk membayar jumlah tersebut.
Jagjit berkata rayuan akan dipohon secepat mungkin.
“Terdapat juga notis rayuan ke atas permohonan (untuk menarik balik hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan) yang ditolak, yang sepatutnya kami dibenarkan merayu tetapi tidak mengapa kerana kita semua melakukan kesilapan dalam hidup,” katanya.
4.16 petang: Rosmah Mansor dilihat meninggalkan dewan perbicaraan.
Penjara 10 tahun, denda RM970 juta terhadap Rosmah
4.09 petang: Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah Mansor.
Jika dia gagal menjelaskan denda itu, dia perlu menjalani tambahan hukuman penjara 30 tahun lagi.
Hukuman itu selepas dia disabit bersalah atas ketiga-tiga tuduhan dalam kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Namun, hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan peguam agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.
Zaini juga membenarkan ikat jamin RM2 juta yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan.
3.43 petang: Selepas mendengar hujahan lisan berhubung hukuman, hakim Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan sebentar prosiding untuk membolehkannya memutuskan hukuman yang akan dijatuhkan terhadap Rosmah Mansor.
Rosmah: Lebih baik bunuh saja saya
3.27 petang: Di kandang tertuduh, Rosmah didengar berkata “might as well kill me” ("lebih baik bunuh saja saya").
Dia berkata demikian ketika mendengar pendakwaan memohon hukuman penjara yang panjang dan denda yang besar dijatuhkan terhadapnya.
Pendakwaan mohon hukuman maksimum
3.26 petang: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram memohon mahkamah memberi hukuman maksimum, atau hampir maksimum, terhadap Rosmah.
Sri Ram yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, setiap tiga pertuduhan terhadap Rosmah membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai rasuah.
Dia berkata, hukuman maksimum bagi menghantar mesej kepada semua pihak yang mungkin berisiko melakukan kesalahan sama, bahawa rasuah adalah sesuatu yang memudaratkan dan perlu dibanteras.
Sri Ram juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM970 juta terhadap Rosmah.
Katanya lagi, jika Rosmah gagal membayar denda itu, hukuman penjara terhadapnya perlu ditambah 30 tahun lagi.
Peguam mohon hukuman penjara sehari untuk Rosmah
3.24 petang: Peguam Jagjit Singh memohon hukuman ringan terhadap Rosmah Mansor, antaranya dengan membangkitkan sumbangan anak guamnya itu kepada masyarakat serta kerana ini merupakan kesalahan pertamanya.
Dia kemudian mencadangkan tempoh penjara sehari selain hukuman ringan lain yang boleh dijatuhkan kepada Rosmah.
Rosmah: Saya mangsa dalam kes ini
3.20 petang: Rosmah Mansor mendakwa dia adalah mangsa dalam kes projek solar hibrid dan pihak yang benar-benar bersalah masih lagi bebas pada masa ini.
Dia juga berharap mahkamah dapat memberi belas ihsan kepadanya sebagai seorang manusia.
"Apa yang berlaku kepada saya boleh berlaku kepada anda, anak anda, cucu anda kemudian. Saya mangsa dalam semua ini.
"Anda telah lakukannya kepada suami saya dan anda mahu keluarga saya menderita.
"Tolong ambil kira saya yang menggantikan peranan ketua keluarga," katanya dengan teresak-esak.
Suaminya, Najib Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.
'Saya tak ambil satu sen pun'
3.17 petang: Rosmah Mansor dalam tangisannya berkata dia tidak pernah mengambil walau satu sen daripada projek projek solar hibrid.
Begitu juga dengan jutaan dana untuk Permata dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), katanya lagi.
Rosmah menangis
3.14 petang: Rosmah gagal menahan air mata ketika bercakap di mahkamah hari ini
Dia berkata amat sedih dengan keputusan hari ini tetapi menghormati keputusan yang telah dibuat mahkamah itu.
Katanya lagi, dia sentiasa memberitahu peguamnya untuk hanya bercakap benar, seperti mana dia mengajar perkara yang sama kepada anak-anaknya.
'Rosmah tubuhkan Permata'
3.08 petang: Peguam Jagjit Singh berkata Rosmah Mansor telah melakukan apa yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana isteri perdana menteri sebelum ini, iaitu menubuhkan program Pusat Anak Permata Negara (Permata).
Di berkata program itu adalah buah fikiran Rosmah dan diiktiraf di dalam dan luar negara atas peranannya dalam mendidik kanak-kanak.
Peguam: Rosmah berjasa kepada negara, terutama kanak-kanak
3.03 petang: Peguam Jagjit Singh dalam hujahannya untuk hukuman yang ringan, berkata Rosmah Mansor telah memberikan banyak sumbangan kepada negara dan rakyat, terutama kanak-kanak.
Jagjit berkata pendakwaan telah bergantung kepada keterangan bekas pembantunya Rizal Mansor, yang didakwanya sebagai seorang yang mengaku dirinya korup dan menjadi saksi pendakwaan untuk menyelamatkan dirinya.
Mahkamah dapati Rosmah bersalah
2.56 petang: Hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah Mansor bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar berjumlah RM1.25 bilion.
Zaini berkata tertuduh gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap hujah pendakwaan, dan pembelaannya hanyalah penafian dan tidak diiringi dengan bukti berwibawa.
Mahkamah kini menunggu pasukan peguam Rosmah untuk berhujah bagi mitigasi untuk hukuman yang ringan.
Mahkamah dijangka beri keputusan
2.53 petang: Hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan dijangka membacakan keputusan berhubung kes rasuah projek hibrid solar berjumlah RM1.25 bilion terhadap Rosmah.Peguam sekali lagi minta tangguh keputusan kes Rosmah
Hujan atau panas
2.45 petang: Hujan yang turun tidak menghalang penyokong Rosmah Mansor untuk menunggu di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Sementara kebanyakan pengamal media mencari tempat berteduh, mereka kekal duduk di atas hamparan tikar bagi menunggu prosiding hari ini tamat.
2.44 petang: Peguam Rosmah Mansor memohon penangguhan keputusan kes rasuah terhadapnya.
Jagjit Singh dalam penghujahan lisannya berkata, penangguhan itu sementara mereka membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung penolakan permohonan mereka untuk menggugurkan Mohamed Zaini Mazlan selaku hakim yang mengendalikan kes ini.
Mahkamah tolak permohonan Rosmah
2.43 petang: Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkannya daripada mendengar kes ini.
Zaini membangkitkan bahawa dua dokumen yang didakwa bocor bukanlah draf penghakiman untuk disediakan atas arahannya.
Dia berkata, dokumen itu sebaliknya penulisan penyelidikan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan ia tidak mempengaruhi keputusannya dalam apa jua cara.
"Saya tak baca pandangan mereka (unit penyelidikan). Saya buat penyelidikan sendiri berdasarkan penghujahan pihak terlibat.
"Saya sentiasa buat kerja saya sendiri (dan) telah menulis lebih 200 penghakiman," kata Zaini lagi.
Prosiding bersambung
2.39 petang: Hakim Mohamed Zaini Mazlan masuk ke mahkamah dan prosiding bersambung.
Zaini dijangka akan memberikan keputusan berhubung permohonan Rosmah Mansor agar dia tidak mendengar kes rasuah projek hibrid solar ke atasnya.
Rosmah kembali ke mahkamah
2.15 petang: Rosmah Mansor masuk ke mahkamah untuk menunggu prosiding bersambung.
Turut dilihat adalah ketua pasukan pendakwaan Gopal Sri Ram dan pasukan pembelaan diketuai Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader.
2.05 petang: Penyokong Rosmah Mansor dilihat di luar perkarangan mahkamah, menunggu prosiding bersambung.
Keputusan permohonan hakim tarik diri selepas rehat tengah hari
12.50 tengah hari: Mahkamah berhenti untuk rehat makan tengah hari dan dijangka akan memberikan keputusan berhubung permohonan pembelaan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan tarik diri selepas prosiding kembali bersambung.
'Tak kira sejahat mana, masih ada kebaikan dalam dirinya'
12.42 tengah hari: Peguam Jagjit Singh berkata walau sejahat mana pun seseorang itu, masih ada sedikit kebaikan dalam dirinya.
Dia berkata demikian sebagai respons kepada hujah pendakwaan bahawa sumber bagi dokumen didakwa bocor berkaitan kes Rosmah, iaitu blog Malaysia Today yang dikendalikan Raja Petra Kamarudin, tidak boleh dipercayai.
"Berkenaan penulis bajingan (atau rogue, seperti hujah pendakwaan), apa saja seorang individu itu, walau sejahat mana pun dia, masih ada sedikit kebaikan dalam dirinya.
"Itulah yang diajar agama kepada kita," katanya.
"Dia mungkin seorang penulis ‘jahat’ (seperti yang dikatakan pendakwaan), tetapi adakah dokumen-dokumen ini palsu?" soalnya lagi.
DPP: Penulisan unit penyelidikan tak jejaskan kebebasan kehakiman
12.35 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram berkata penulisan pendapat oleh unit penyelidikan mahkamah tidak menjejaskan kewibawaan kehakiman dalam membuat keputusan.
Dia yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, penulisan seumpama itu sudah menjadi amalan sekian lama di negara Komanwel hanya untuk membantu hakim ketika menyelidik kes.
Sri Ram berkata akhirnya penulisan itu adalah pendangan anggota unit yang menulisnya dan keputusan sebenar kes masih bergantung kepada hakim.
Terdahulu hari ini, dia berkata dokumen bocor tersebut bukan penghakiman, sebaliknya kertas penyelidikan yang ditulis unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dokumen bocor: Blog Raja Petra bukan sumber boleh dipercayai - DPP
12.31 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram dalam hujah lisannya berkata Malaysia Today, iaitu blog di mana dua dokumen yang didakwa sebagai penghakiman kes Rosmah Mansor dimuat naik - bukanlah sumber berwibawa.
"Dalam penghujahan saya, penulis artikel (di blog itu) adalah seorang pelarian daripada keadilan yang bersembunyi di United Kingdom.
"Kedua, dia adalah wartawan 'jahat' (rogue). Pandangannya berubah berdasarkan berapa banyak dia dibayar," katanya.
12.22 tengah hari: Peguam Jagjit Singh selesai memberikan penghujahan lisan bagi permohonan pengguguran hakim Mohamed Mazlan Zaini.
Peguam: Dokumen bocor adalah draf penghakiman disediakan pihak ketiga
11.58 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata dokumen yang didakwa bocor tersebut adalah draf penghakiman yang disediakan oleh pihak ketiga untuk hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Dia berkata demikian ketika Zaini bertanya apakah dokumen itu sebenarnya, yang menjadi asas kepada permohonan pembelaan agar dia digugurkan daripada mendengar kes tersebut.
Anak Najib tiba di mahkamah
11.39 pagi: Anak Rosmah Mansor, Nooryana Najwa Najib dilihat masuk ke mahkamah dan duduk di galeri awam.
Sementara itu, peguam Jagjit Singh meneruskan hujahan lisannya bagi permohonan agar hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes itu.
'Dokumen bocor' disiarkan di projektor
11.23 pagi: Peguam Jagjit Singh merujuk salinan dokumen didakwa bocor berkaitan kes rasuah Rosmah Mansor, yang disiarkan di mahkamah menerusi projektor.
Dia berhujah bahawa ada risiko berat sebelah melibatkan hakim Mohamed Zaini Mazlan memandangkan dokumen itu menyatakan ia disediakan untuk pertimbangan hakim.
Dokumen itu didakwa bukan penghakiman bertulis sebenar untuk kes Rosmah, tetapi salinan penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
'Pendakwaan tak tegaskan dokumen didakwa bocor adalah palsu'
11.13 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata tiada penegasan daripada pihak pendakwaan bahawa dokumen didakwa bocor yang berkaitan dengan kes rasuah Rosmah Mansor adalah dokumen palsu.
Dia berkata hakim perlu mampu menyampaikan keputusan tanpa pengaruh tidak sepatutnya, secara langsung mahupun tidak langsung daripada mana-mana sumber lain.
Peguam: Hakim perlu bebas dari pengaruh luar
11 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata hakim yang mengendalikan perbicaraan perlu mampu melaksanakan tanggungjawabnya secara saksama dan bebas daripada pengaruh luar.
Katanya, kebebasan kehakiman memastikan seorang hakim dapat menilai bukti, mengguna pakai undang-undang dan menentukan keputusan kes tanpa mengira mana-mana pihak, demi menegakkan keadilan.
"Saya ada keyakin penuh terhadap Yang Arif (Mohamed Zaini Mazlan) tidak akan dipengeruhi oleh perkara ini, tetapi (risiko berat sebelah) masih wujud, dan itulah tujuan permohonan (pengguguran hakim)," katanya.
Peguam: Awan gelap kembali selubungi badan kehakiman
10.50 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata awan gelap telah melitupi badan kehakiman sejak 23 Ogos lalu.
Katanya, ia serupa dengan apa yang berlaku pada 1988, merujuk kepada penyingkiran Salleh Abbas sebagai ketua hakim negara.
Sejarah mengenang peristiwa itu sebagai krisis kehakiman negara.
Jagjit mendakwa awan gelap kembali melitupi badan kehakiman pada 23 Ogos lalu, dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan suami Rosmah, Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.
Dia merujuk dakwaan kebocoran penghakiman berkaitan kes Najib sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.
Peguam: Hanya perlu buktikan ada bahaya berat sebelah
10.43 pagi: Peguam Jagjit Singh dalam hujahan lisannya berkata, undang-undang tidak memerlukan pemohon untuk memberikan bukti meyakinkan untuk membuktikan aspek berat sebelah pada hakim.
Dia berkata, mereka hanya perlu menunjukkan apa yang boleh dan menyerahkan kepada mahkamah jika ada bahaya berlakunya berat sebelah.
Peguam: Permohonan pengguguran hakim bukan cakap dengar.
10.40 pagi: Peguam Jagjit Singh menafikan hujah pendakwaan bahawa permohonan agar hakim Mohamed Zaini Mazlan digugurkan daripada mendengar kes itu adalah berdasarkan bukti cakap dengar.
Katanya, ini kerana mahkamah sebelum ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kebocoran draf penghakiman dan ketua polis daerah Sentul dilaporkan telah mengesahkan bahawa perkara itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi.
Prosiding bersambung
10.32 pagi: Pendengaran permohonan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan digugurkan disambung semula.
Ia ditangguhkan sebentar bagi membolehkan peguam menyediakan hujah balas terhadap balasan yang difailkan oleh pendakwaan agar permohonan itu ditolak.
Mahkamah sedia dengar permohonan gugur hakim
9.42 pagi: Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah hari ini sedia mendengar permohonan agar dia tidak mendengar kes itu.
Zaini juga membayangkan dia tidak cenderung untuk menangguhkan keputusan kes itu yang dijadual hari ini.
Katanya, dia sendiri menghabiskan kebanyakan masa ketika cuti Hari Merdeka semalam untuk membaca permohonan yang difailkan pembelaan.
Dia mengambil maklum yang peguam telah memfailkan perakuan segera agar permohonan pengguguran hakim didengar secepat mungkin, justeru dia menetapkan yang permohonan itu didengar hari ini.
"Apa-apa pun, anda telah failkan perakuan segera. Anda sepatutnya sedia. Anda kata ada keperluan untuk failkan balasan. Saya sudah baca (keseluruhan permohonan pengguguran hakim dan dokumen berkaitan," katanya.
Katanya, permohonan pengguguran itu bersandarkan pada dakwaan berkenaan sesuatu yang sepatutnya di dalam pengetahuannya dan didakwa ditulis oleh pihak ketiga.
Zaini bagaimanapun membenarkan prosiding ditangguh setengah jam bagi membolehkan peguam menyediakan hujah balas terhadap afidavit pihak pendakwaan.
Pendakwaan bantah permohonan tangguh keputusan
9.33 pagi: DPP Gopal Sri Ram menyuarakan bantahan terhadap permohonan peguam agar keputusan kes rasuah Rosmah Mansor, yang dijadual diberikan hari ini, ditangguh.
Sri Ram menyifatkan permohonan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri dibuat tanpa merit dan bersifat spekulasi.
Dia berkata kebocoran dokumen yang didakwa draf penghakiman sebelum ini sebenarnya bukanlah penghakiman, sebaliknya ia adalah penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan oleh unit penyelidikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dia juga berkata pihak pendakwaan sedia untuk meneruskan pendengaran hari ini.
9.28 pagi: Peguam Jagjit Singh memohon keputusan hari ini ditangguhkan bagi memberikan lebih masa kepada pasukan pembelaan memfailkan respons terhadap hujahan bertulis pihak pendakwaan.
Dia berkata salinan balasan pendakwaan terhadap permohonan pengguguran hakim hanya diserahkan kepada pihaknya hari ini.
Permohonan hakim tarik diri didengar
9.25 pagi: Mahkamah mula mendengar permohonan Rosmah Mansor agar hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuah terhadapnya.
Peguam Jagjit Singh memulakan penghujahan lisan bagi permohonan itu.
Prosiding bermula
9.23 pagi: Hakim Mohamed Zaini Mazlan masuk ke mahkamah dan perbicaraan bermula.Rosmah tiba di mahkamah
Rosmah tiba di mahkamah
8.57 pagi: Dia yang mengenakan baju kurung dan selendang kuning dilihat duduk di galeri awam untuk menunggu prosiding bermula.
Turut dilihat adalah ketua pasukan pembelaan, Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh.
DPP tiba di mahkamah
8.30 pagi: Ketua pasukan pendakwaan, Gopal Sri Ram dilihat tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pasukan pembelaan Rosmah juga dilihat sudah berada di mahkamah.
Mahkamah dijangka sampaikan keputusan
8 pagi: Zaini dijangka memberikan keputusan ke atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.
Wang tersebut didakwa sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus.
Pada mulanya keputusan dijadualkan dibuat pada 7 Julai namun ditangguh ke hari ini.
Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas satu pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan satu pertuduhan menerima rasuah RM1.5 juta.
Pada 10 April 2019, dia sekali lagi dibawa ke mahkamah atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta.
Dia pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum tiga pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan secara bersama.
Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Rosmah untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Seramai 23 saksi telah dipanggil pendakwaan dengan Rizal dan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid menjadi saksi utama.
Terdahulu, Rizal dalam keterangannya berkata dia membawa wang tunai RM5 juta dalam dua beg dan ke Seri Perdana - kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.
Wang itu didakwa diberikan Saidi pada 2016.
Mahkamah juga diberitahu Mahdzir mengeluarkan arahan untuk meminda surat perjanjian kepada Jepak Holdings. Bahagian yang dipinda adalah Perkara 11 yang menyatakan kerajaan ada hak untuk membatalkan kontrak itu pada bila-bila masa.
Peguam Rosmah dalam hujahnya antara lain berkata saksi pendakwaan membuat konspirasi terhadap Rosmah.
Jika disabit bersalah, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai