PRU15: Umno Kelantan sasar menang 9 kerusi parlimen, 35 DUN
Umno Kelantan menyasarkan kemenangan di sembilan kawasan Parlimen dan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kawasan mana yang akan ditandingi parti itu.
“Tidak perlulah saya sebutkan, malah kalau ada yang di luar sana kata bahawa Umno Kelantan bercita-cita besar, sememangnya dalam pertempuran kita perlu bercita-cita besar, insya-Allah kita akan memperoleh sasaran (menang kerusi ditandingi) berkenaan.
"Untuk kerusi Parlimen pula tidak mustahil untuk kita letak sasaran itu memandangkan pada PRU-11 iaitu tahun 2004, kita pernah memperoleh kemenangan sembilan kerusi Parlimen," katanya.
Kombinasi muka lama, baru
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera PRU15 Veteran Umno Kelantan dan Perasmian Keluargaku Pengundi Barisan Nasional (BN) di Kolej Kemahiran Tinggi Marabaru, Lubok Jong, Rantau Panjang, dekat Pasir Mas hari ini.
Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata pihaknya kini giat meneliti dan membuat kajian untuk menentukan senarai calon yang bakal bertanding pada PRU15 sebelum diserahkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Kalau boleh kita mahu mengetengahkan seramai mungkin muka baru serta tidak meminggirkan kepimpinan yang ada dan muka lama kerana kombinasi ini amat penting,” katanya.
Kelantan mempunyai 14 kawasan Parlimen dan 45 kerusi DUN. Pada PRU14, BN Kelantan memenangi lapan kerusi DUN dan lima kerusi Parlimen.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai