Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MMA: 'Tiba masa tak wajib pakai pelitup muka di kawasan tertutup'

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengesyorkan kepada kerajaan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penggunaan pelitup muka di ruang tertutup, susulan amalan yang semakin meningkat di negara-negara lain termasuk Singapura.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata ini memandangkan jumlah kes Covid-19 di Malaysia telah mencapai tahap mendatar.

“Sudah tiba masanya kita mempertimbangkan secara serius untuk tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di ruang tertutup.

“Satu-satunya keperluan (berbuat demikian) ialah ketika di dalam pengangkutan awam tertentu yang melibatkan kesesakan orang ramai untuk jangka masa yang panjang, rumah jagaan, pusat jagaan warga emas dan di kawasan penjagaan kesihatan," kata Koh pada satu kenyataan hari ini.

Dr Koh (gambar, atas) berkata, walaupun kemasukan ke hospital akibat Covid-19 masih berlaku jumlahnya tidak tinggi dan keadaan keseluruhan dalam negara masih terkawal.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin pada Isnin berkata keputusan untuk memansuhkan penggunaan pelitup muka di ruang tertutup akan diteliti dan diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.

Muhyiddin berkata soalan mengenai penggunaan pelitup muka di kawasan tertutup dibangkitkan ketika mesyuarat MPN kepada Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali yang memaklumkan bahawa kementerian akan mengkaji perkara itu.

Menurut laporan media, rakyat Singapura tidak perlu lagi memakai pelitup muka di kawasan tertutup atau terbuka, kecuali dalam pengangkutan awam dan di kawasan penjagaan kesihatan.