Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tambang bas, rel percuma kepada OKU selama sebulan hingga 30 Sept

Operator perkhidmatan rel dan bas utama negara, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menawarkan tambang percuma bagi perkhidmatan rel dan bas selama sebulan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) mulai hari ini sehingga 30 Sept ini sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, ketika mengumumkan perkara itu, berkata tambang percuma itu khusus kepada pemegang kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pemegang kad konsesi OKU MyRapid.

“Perkhidmatan Prasarana meliputi semua perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan yang merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Bas Rapid Transit (BRT) atau bas henti-henti dan juga Rapid Mobiliti.

“Pengguna OKU hanya perlu menunjukkan kad perakuan OKU yang dikeluarkan oleh JKM atau Kad Konsesi OKU MyRapid kepada pegawai stesen rel yang bertugas di kaunter khidmat pelanggan Rapid KL yang memberi ‘token’ khas untuk menikmati tambang percuma,” katanya pada sidang media di Stesen MRT Pasar Seni, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim.

Wee berkata pemberian tambang percuma ini adalah tanda terima kasih kumpulan Prasarana kepada pengguna OKU yang menggunakan pengangkutan awam sempena sambutan ulang tahun hari kebangsaan, selain bukti keprihatinan Keluarga Malaysia yang serius menjaga kebajikan serta keselesaan golongan OKU.

Terdahulu, beliau menaiki tren bersama sekumpulan OKU berkerusi roda serta cacat penglihatan dari Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) ke Stesen MRT Pasar Seni.

Wee (gambar, bawah) berkata berdasarkan statistik Prasarana,jumlah purata penggunaan bulanan dalam kalangan OKU bagi perkhidmatan bas dan rel adalah masing-masing seramai 23,527 dan 26,762 orang.

“Prasarana berharap dengan tambang percuma ini ia dapat memberi manfaat kepada lebih 10,000 golongan OKU yang menggunakan perkhidmatan awam setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Ras Adiba, berkata pemberian tambang percuma itu adalah sesuatu yang dinanti-nantikan dan menyifatkan perkhidmatan mobiliti sangat diperlukan disebabkan kekangan OKU untuk sampai ke stesen pengangkutan awam.

- Bernama