PRU15: Runding semula dengan pembangkang demi masa depan negara - Muhyiddin
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata saranan beliau agar parti pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN adalah untuk masa depan negara serta rakyat, dan bukannya untuk kepentingan parti.
Bekas perdana menteri itu berkata saranan itu bertujuan melindungi negara daripada terus terjerumus dengan kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.
“Cadangan ini disuarakan berdasarkan kepada kebimbangan rakyat ketika ini.
"Ia bukan untuk kepentingan politik PN atau untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) selepas mempengerusikan mesyuarat majlis berkenaan di Putrajaya semalam.
Muhyiddin ketika berucap pada Konvensyen PN Sabtu lepas menyarankan semua pimpinan parti pembangkang untuk mempertimbang semula rundingan dengan PN untuk mencapai kesepakatan pada PRU15 akan datang.
PN terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung pendirian parti itu untuk tidak menjalin kerjasama dengan PN, Muhyiddin menyifatkannya sebagai kenyataan bersifat peribadi.
“Yang saya baca, yang tolak (kerjasama) adalah Rafizi. Tak apa kita terima pandangan beliau itu, tetapi (menerusi) kerjasama politik, ia akan membolehkan gabungan parti untuk tawarkan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU15.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai