Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

' Penghina agama tidak akan terlepas'

Kerajaan tidak akan membiarkan sesiapa pun yang didapati menghina agama terlepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ahmad Marzuk Shaary.

Menurutnya kerajaan tidak akan berkompromi dengan tindakan seumpama itu.

Dipetik harakahdaily hari ini, ahli parlimen Pengkalan Chepa itu menjelaskan tindakan tersebut akan diambil mengikut lunas undang-undang negara bagi mengelak kejadian sama berulang.

Setakat ini, katanya, tidak ada yang terlepas daripada tindakan pihak berkuasa.

“Pihak membangkitkan (isu agama) sama ada di media sosial, ucapan, perkataan dan perbuatan yang menghina agama, setakat ini tidak terlepas daripada tindakan kerajaan," katanya.

Ada beberapa isu panas melatari isu Islam dalam kerajaan semasa akhir-akhir ini. Misalnya aksi seorang wanita yang menghina agama semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur.

Wanita terbabit sempat ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan namun dibebaskan kemudian. Dia bagaimanapun berdepan pertuduhan di mahkamah sivil dan tindakan tersebut diambil melalui polis.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga berdepan dengan isu seorang individu yang didakwa wanita tetapi melaksanakan umrah sebagai lelaki.

Setakat ini individu terbabit belum diketahu ditahan atau dikenakan sebarang tindakan.

Terbaru seorang model yang dianggap menghina Islam kerana bersongkok namun berpakaian tidak wajar semasa menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur.

Pada 25 Julai lalu Menteri di JPM, Idris Ahmad, berkata sejak menjadi kerajaan cakap PAS "agak laku sikitlah" dan membolehkan tindakan diambil dengan segera.