Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen DAP, PAS kecam Azalina

Ahli Parlimen DAP, Ngeh Koo Ham, menyifatkan Azalina Othman tidak layak untuk menjadi penasihat undang-undang dan hak asasi manusia kepada perdana menteri.

Bahkan, kata Ngeh, lebih wajar untuk ahli parlimen Pengerang terbabit meletak jawatan segera.

Katanya, kenyataan Azalina yang mahu perdana menteri melantik peguam negara dalam kalangan Umno jelas menunjukkan wujud cubaan untuk menyalahgunakan kuasa bagi memenuhi kepentingan mereka.

"Ini sama sekali bertentangan dengan kedaulatan undang-undang! Inilah sebabnya mengapa gesaan supaya peranan pendakwa raya dipisahkan daripada peguam negara (sebagai penasihat undang-undang tertinggi kepada kerajaan).

"Potensi penyalahgunaan (kuasa) oleh eksekutif yang diketuai oleh perdana menteri adalah jelas.

"Pendakwa raya sepatutnya bertanggungjawab kepada parlimen, bukannya kepada perdana menteri," katanya.

Ngeh yang juga seorang peguam menambah, selaku penasihat Ismail Sabri Yaakob, Azalina terbukti tidak layak untuk tugas tersebut.

Sabtu lalu, ketika berucap pada majlis taklimat khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Azalina secara terbuka menyoal mengapa Ismail Sabri Yaakob tidak memilih "orang dia" sebagai peguam negara.

"Jika kuasa menukarkan AG (peguam negara) di tangan PM, mengapa PM tidak menukarkan AG, malah ia adalah bidang kuasa PM.

"Saya nak tanya satu sahaja: takkan nak tukar AG pun tak boleh," katanya bersambut sorakan kuat daripada para hadirin.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata kenyataan "setiap perdana menteri akan lantik peguam negara orang dia" dikeluarkan Azalina memberi gambaran instituti pendakwaan di negara ini dipengaruhi dan dikawal perdana menteri.

Katanya, kenyataan Azalina itu agak terkebelakang ketika era pelbagai pembaharuan dari sudut menghidupkan demokrasi sebenar dilakukan oleh kerajaan pada hari ini.

"Langkah yang paling baik ialah memisahkan fungsi peguam negara dengan tugas pendakwaan. Ini sebenarnya telah dimulakan perancangan oleh pihak kerajaan ketika Takiyuddin Hassan sebagai menteri di Jabatan Perdana menteri (parlimen dan undang-undang).

"Pada ketika kenyataan itu dibuat, menariknya, ia juga sebagai menyahut cadangan ahli parlimen Penggerang yang ketika itu sebagai timbalan yang dipertua Dewan Rakyat turut beliau menuntut supaya sebuah suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara," katanya.