Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PM: Pasukan khas jihad tangani inflasi mula bawa kesan positif

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat mula melihatkan hasil yang positif.

Ismail Sabri berkata kesan penubuhan pasukan itu menyaksikan kenaikan harga lebih terkawal dengan jaminan rantaian bekalan makanan dan barangan lebih meyakinkan terutama ayam dan minyak masak dalam botol.

"Kerajaan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat mendepani isu kos sara hidup dan inflasi semasa yang melanda seluruh dunia.

"Langkah seterusnya, kerajaan memperluaskan dan menjenamakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) melibatkan 600 kawasan DUN seluruh negara dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Kebangsaan dan Penjenamaan Semula Program JMKM di Bera, Pahang hari ini.

Program JMKM yang bermula pada minggu ketiga bulan ini hingga Disember ini menawarkan pengurangan harga barangan keperluan harian sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran semasa setempat.

Dia berkata kerajaan memperuntukkan RM80 juta melalui lima kementerian sebagai agensi pelaksana untuk menjayakan JMKM sehingga akhir tahun ini, yang diharapkan akan memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia.

-Bernama