Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kedah, T'ganu, beberapa negeri lain minat projek lombong Lantanida - JMG

Beberapa negeri telah menyatakan hasrat untuk melaksanakan projek melombong nadir bumi lantanida seperti dilaksanakan di Hulu Perak, Perak, kata Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Hisamuddin Termidi.

Beliau berkata mana-mana kerajaan negeri boleh menjadikan Perak sebagai contoh dalam projek tersebut namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang telah ditetapkan.

“Antaranya, Terengganu, Kedah dan beberapa negeri lain telah menyatakan hasrat mereka membabitkan projek melombong NR-REE seperti lantanida,” katanya selepas program penutup Latihan Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu (GeoGuide) yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah hari ini.

Dilaporkan, projek melombong nadir bumi lantanida di Hulu Perak dijangka akan dimulakan seawal bulan depan susulan kebenaran merancang bersyarat yang diterima daripada Majlis Daerah Gerik sebelum ini.

Hisamuddin berkata JMG sedang dan sentiasa membuat kajian berkaitan NR-REE di seluruh negara yang memberi fokus kepada sumber dan bukan penentuan simpanan semata-mata memandangkan bahan seperti lantanida mempunyai nilai yang tinggi di pasaran.

Menurutnya, anggaran kasar sumber NR-REE di Perak adalah 1,687,500 tan yang bernilai AS$20.25 bilion (RM90.56 bilion).

Dilapor ,Menteri Tenaga dan Sumber Ali, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata menerusi kajian di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2016 sehingga 2020 lalu, Malaysia dianggarkan memiliki 15.2 juta tan NR-REE bernilai RM741 bilion.

Menyentuh mengenai program hari ini, Hisamuddin, berkata beberapa kawasan Geopark selain di Perak seperti di Kedah, Johor dan Sabah turut mengadakan latihan seumpamanya bagi mencapai sasaran 710 jurupandu terlatih di seluruh negara.

“Ia melibatkan kursus asas, kursus lanjutan dan latihan intensif sebelum diberi tauliah dan sijil. Ketika ini kita baru ada kira-kira 400 jurupandu. Mereka memainkan peranan dalam menjamin keselamatan pengunjung dan memberikan perkhidmatan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata kewujudan dan kehadiran jurupandu bertauliah ini sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada pengunjung dan pada masa yang sama merancakkan industri pelancongan.

- Bernama