Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Wan Junaidi sahkan Belanjawan 2023 pada 7 Okt, nafi sebab PRU

Belanjawan 2023 akan dibentang tiga minggu lebih awal daripada yang dijadualkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bercakap kepada Malaysiakini, Wan Junaidi mengesahkan belanjawan berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini.

"Ya, memang benar. Sesi baharu akan bermula pada 3 Okt ini sebenarnya," katanya ketika dihubungi.

Wan Junaidi bagaimanapun menafikan sebarang kaitan pertukaran tarikh baru itu dengan pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan tahun ini berikutan tekanan daripada Umno.

"Tidak, tiada perbincangan mengenai pilihan raya umum, yang masih menjadi prerogatif perdana menteri (yang akan) menghadap Yang di-Pertuan Agong (untuk membubarkan parlimen)," katanya.

Malaysiakini hari ini melaporkan Umno memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sama ada mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin atau dipecat daripada parti itu, susulan mesyuarat biro politik Umno pada Rabu lalu.

Terdahulu, The Star, melaporkan perdana menteri memberitahu mesyuarat kabinet hari ini mengenai tarikh baru pembentangan Belanjawan 2023.

Semalam, timbalan menteri kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah memaklumkan tiada perubahan tarikh bagi pembentangan Belanjawan 2023 dan ia kekal seperti dijadualkan dalam kalendar parlimen pada 28 Okt.

Minggu lalu, Wan Junaidi berkata, PRU akan datang mungkin diadakan hanya selepas pembentangan belanjawan di parlimen.

"Bila dah lulus, rakyat dah menikmati kebaikan bajet itu, baru sesuai kalau nak bubar, bubarlah ketika itu,” katanya.