Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Kerajaan harus diberi peluang habiskan penggal

ULASAN | Saya ingin merakamkan penghargaan iklas saya kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kerana memetik pandangan saya dalam Simposium Keluarga Malaysia pada ulang tahun kerajaan Ismail Sabri Yaakob berasaskan perbandingan antarabangsa bahawa fenomena ‘parlimen tergantung’ tidak perlu ditakuti.

Semoga sikap beliau yang memandang berat pandangan sarjana dan mencabar mitos dicontohi tokoh-tokoh politik lain.

Akan tetapi, kesimpulan susulan Zahid bahawa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) harus disegerakan berlainan sekali daripada kesimpulan saya dalam simposium itu bahawa kerajaan Keluarga Malaysia harus diberi ruang untuk menghabiskan penggal Parlimen ke-14 sehingga 15 Julai 2023.

Izinkan saya jelaskan pandangan menyeluruh saya dalam bahasa ringkas untuk diteliti oleh Zahid, Ismail Sabri dan rakyat Malaysia sekalian.

Parlimen tergantung akan kekal selepas PRU15

Parlimen tergantung (hung parliament) ialah keadaan tiada satu parti atau gabungan pra-PRU memenangi majoriti mudah di Parlimen, yakni 112 kerusi dalam kes Malaysia.

Ini berlaku untuk kali pertama di Malaysia apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dan kerajaan susulan yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin kekal sebagai pakatan longgar antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti kecil dan ahli-ahli persendirian.

Perkara ini berterusan dengan Ismail Sabri yang mewarisi komposisi parti kerajaan malah barisan menteri yang hampir sama.

Ramai mengaitkan parlimen tergantung dengan ketidakstabilan. Keperluan perdana menteri untuk bermusyawarah dengan parti sekerajaan dan parti pembangkang dibaca sebagai kelemahan.

Mereka gagal melihat parlimen tergantung boleh membawa ketidakstabilan seperti di zaman Muhyiddin dan juga kestabilan seperti di zaman Ismail.

Kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor seterusnya mezahirkan persepsi bahawa fenomena parlimen tergantung akan dihapuskan dengan PRU15 yang awal, tanpa mengambil kira dua perbezaan utama antara PRN dan PRU15.

Pertama, PRU15 akan merangkumi Malaysia Timur yang mempunyai 57 kerusi parlimen dengan dinamik politik yang berlainan.

Sejak Jun 2018, GPS menjadi pemain bebas yang boleh membentuk kerajaan dengan mana-mana pihak atas tawaran terbaik, sungguhpun hubungannya paling karib dengan BN.

Kini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Bersatu Sabah dan menjalin hubungan baik dengan PN juga beranjak ke arah GPS.

Dengan GPS dan GRS dijangka akan memenangi lebih daripada 40 kerusi di Borneo, parlimen tergantung hanya boleh dielakkan jika BN, PH atau PN dapat memenangi hampir 100 kerusi daripada 165 kerusi di Semenanjung.

Undi terpecah antara PH dan PN

Kedua, kadar mengundi PRN Johor serendah 55% tetapi kadar mengundi PRU15 dijangka lebih tinggi.

Dalam PRN Johor, jumlah undi BN cuma meningkat sebanyak 17,222 undi manakala jumlah undi pembangkang utama (PH+MUDA dan PN dalam PRN; PH dan PAS dalam PRU14) telah berkurang sebanyak 170,595.

Dalam kata lain, BN menang besar di Johor kerana undi PH telah lari ke ‘Parti Aku Malas Undi’ (PAMU) di samping terbahagi antara PH dan PN.

Dengan terbongkarnya skandal LCS yang mengkhianati keselamtan negara dan berakhirnya pengadilan kes SRC Najib, lebih ramai rakyat akan keluar mengundi daripada semasa PRN Johor.

Sebelum Umno dilihat sanggup menyerang rasuah dan pengkhianatan, PRU15 awal mungkin hanya membawa padah kepada BN.

Parlimen sebagai wadah musyawarah

Parlimen tergantung tidak mengancam kestabilan dan kemakmuran jika parlimen menjadi wadah musyawarah. Dengan parlimen tergantung, parti-parti perlu bermusyawarah dan mencapai muafakat, sama ada membentuk kerajaan campuran, mementerai perjanjian kepercayaan dan belanjawan (CSA) antara kerajaan dan pembangkang, atau kedua-duanya.

Antara negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan berdepan dengan parlimen tergantung, banyak yang stabil, maju dan makmur. Cukup mengambil dua contoh, Jerman dan New Zealand.

Jerman adalah ekonomi terbesar di Eropah dan kelima besar di dunia mengikut KDNK benar. Sebanyak 20 PRU telah berlaku sejak 1949, semua menghasilkan parlimen tergantung dan kerajaan campuran termasuk empat kali ‘gabungan besar’ (grand coalition) antara parti kanan terbesar dan parti kiri terbesar.

Dalam tempoh 24 tahun antara 1996 dan 2020, New Zealand telah diperintah oleh lapan buah kerajaan campuran majoriti termasuk kerajaan minoriti dengan CSA. Negara kecil yang maju dan sentosa ini adalah antara negara paling berjaya dalam mengatasi wabak Covid-19.

Daripada demokrasi bersifat pertembungan (adversarial) ala Britain, kestabilan bermusyawarah sebenarnya lebih sesuai dengan jati diri Malaysia. Tamadun Nusantara menghargai kepelbagaian dan sikap rendah diri manakala Islam juga meraikan perbezaan dan mengajak pemuafakatan.

Parlimen berpenggal tetap

Akan tetapi, kestabilan bermusyawarah dalam parlimen tergantung perlukan kuasa parlimen dan jawatankuasa untuk memantau kerajaan dan menteri, kedaulatan undang-undang tanpa pendakwaan terpilih, kebebasan kewangan parti-parti untuk tidak mencari rasuah dan kroni, serta ketentuan dan insentif untuk parti bersaing secara profesional dengan visi panjang, bukan semacam penjudi politik yang mencuba nasib.

Dengan MOU yang dimenterai dengan PH, kerajaan Keluarga Malaysia telah membawa reformasi institusi penting seperti undang-undang antilompat parti tetapi banyak lagi seperti pendakwa raya yang bebas, pendanaan parti dengan dana awam masih belum dilaksanakan.

Daripada mendesak pembubaran awal, Umno seharusnya mendukung konvensi baru Parlimen Berpenggal Tetap, sampai 15 Julai 2023.

Dalam bahasa mudah, pembubaran awal hanya dipohon jika kerajaan hilang kepercayaan atau wujud muafakat dua per tiga ahli parlimen.

Ini akan mengurangkan ketidaktentuan dalam politik dengan tarikh PRU yang ditunda-tunda dan membenarkan reformasi perlu dilengkapkan sebelum PRU15.

Disaji lauk dengan nasi
Bersyukurlah atas nikmat
Tiada kestabilan tanpa reformasi
Biar lambat PRU asalkan selamat


WONG CHIN HUAT ialah ahli sains politik di Sunway University yang mengkhusus dalam sistem pilihan raya, demokrasi berparlimen dan politik parti.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.