Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PH Perak cabar keberanian Mat Hasan untuk menang besar

Pakatan Harapan tidak percaya dengan keyakinan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bahawa BN berpeluang untuk membentuk kerajaan negeri di Perak yang kukuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti

Semalam, dia dilaporkan berkata BN Perak perlu mencari tonik untuk menambah sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di samping mengekalkan 27 kerusi yang telah dimenangi pada pilihan raya lalu.

“Walaupun saya hormati percubaan Mat Hasan (panggilan popular Mohamad) untuk menyuntik keyakinan kepada penyokongnya, ia tidak lebih daripada itu.

“Ia langsung tidak menyebut apa-apa cara bagaimana ini boleh dicapai.

“Komen Mat Hasan bahawa kerajaan negeri Perak yang kukuh memerlukan BN memenangi tambahan sembilan kerusi sememangnya terpakai untuk kedua-dua BN dan PH,” kata Howard Lee, yang merupakan Adun Pasir Pinji.

Mohamad Hasan , Timbalan Presiden Umno

Sebaliknya, menurut Lee, komen Mohamad secara tidak langsung mendedahkan bahawa BN kurang yakin untuk mencapai majoriti berkenaan.

“Daripada mengisytiharkan keperluan untuk mencari ‘tonik’ untuk memenangi sembilan kerusi lagi untuk kerajaan yang kukuh, dia sepatutnya mengisytiharkan jumlah kerusi yang akan dimenangi BN untuk membentuk kerajaan BN yang kukuh.

“Persoalan yang lebih penting yang Mat Hasan perlu jawab, ialah sekiranya BN tidak memperoleh sembilan kerusi, adakah Umno dan BN akan kembali kepada PAS yang berpotensi menjadi lebih kuat dengan Bersatu untuk membentuk kerajaan di Perak?” soal Lee.

Katanya, Umno sedang berdepan menghadapi pertandingan sengit daripada PAS di dua atau tiga kerusi mereka dan kerusi yang Umno tewas kepada Bersatu juga terbukti sebagai satu cabaran.

"Jika ini diterjemahkan, bermakna mereka berdepan perjuangan yang sukar malah untuk mengekalkan 25 kerusi semasa mereka," kata pemimpin DAP itu.

Mohamad semalam berkata sembilan kerusi tersebut dipecahkan kepada tier satu membabitkan lima kerusi yang tewas dengan majoriti kurang dari 1,000 undi manakala tier dua untuk empat lagi kerusi.

Menurutnya, bagi kerusi Parlimen pula, BN Perak juga perlu menambah lima lagi kerusi dan mengekalkan 11 kerusi yang dimenangi sebelum ini.

Pada PRU14, BN Perak memenangi 27 daripada 59 kerusi DUN dan 11 daripada 24 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Walaupun PH berjaya membentuk kerajaan negeri, namun pentadbiran itu tumbang apabila beberapa wakil rakyat berpaling tadah.

Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Tanjung Malim

Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang berkata bahawa ia hanyalah angan-angan BN untuk memenangi lebih banyak kerusi pada PRU akan datang.

“BN telah menjadi kerajaan negeri sejak 2020, walaupun mereka tidak mendapat mandat memerintah pada PRU lalu. Namun tidak banyak bezanya dengan kerajaan BN sebelum ini yang ditumbangkan oleh rakyat,” katanya.

“Sekarang, rakyat dapati lebih sukar untuk cari makan kerana inflasi yang melambung tinggi; namun pada masa yang sama kita menyaksikan bagaimana dana kerajaan disalahgunakan oleh pemimpin BN seperti skandal LCS (kapal tempur litoral).

“Oleh itu, saya fikir BN perlu bimbang tentang kehilangan negeri itu daripada menyasarkan untuk memenangi lebih banyak kerusi,” katanya.

“Rakyat Perak berhak mendapat kerajaan negeri yang lebih baik dan PH akan berusaha untuk menghalang BN daripada menerajui negeri itu semula selepas mereka gagal meningkatkan taraf hidup rakyat,” kata Chang, yang juga naib presiden PKR.

[Baca berita penuh]