Puad: Umno tak perlukan 'poster boy' terlebih perasan, lembik
Seorang anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zakarshi, secara berlapik mendakwa parti itu tidak lagi memerlukan poster boy untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Tanpa menamakan sesiapa, Mohd Puad berkata, individu yang dinamakan sebagai poster boy itu sudah tidak relevan lagi pada waktu ini.
Hal itu kerana, tambahnya, ia boleh menjadi percaturan yang silap oleh Umno dan akan menjadi senjata memakan tuan, selain menyediakan bola tanggung kepada pembangkang.
"Poster boy tidak boleh mereka yang over perasan dan lembik. Harapkan pagar, pagar makan padi," katanya.
Umno sebelum ini membayangkan untuk menjadikan Ismail Sabri Yaakob sebagai poster boy sebagai langkah menarik sokongan orang ramai kepada mereka selepas ditolak pada PRU ke-14 lalu.
Bagaimanapun ketika ini hubungan pemimpin atasan Umno dengan Ismail Sabri dilihat tidak begitu baik, khususnya dalam isu pembubaran parlimen untuk membolehkan PRU diadakan.
Kelmarin pemimpin tertinggi Umno mengadakan pertemuan tertutup dengan semua ketua bahagian parti itu dari seluruh negara di ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur.
Mudah difitnah jika bernyawa
Bagaimanapun Ismail Sabri - serta beberapa ketua bahagian - tidak menghadirinya. Sebahagian daripada pemimpin atasan terbabit kemudian membuat pertemuan dengan Ismail Sabri di Putrajaya.
Ia juga berlangsung sehari sebelum Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib Razak berhubung sabitan tujuh pertuduhan jenayah melibatkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd pada 2020.
Keputusan itu menyebabkan Najib ditahan pihak berkuasa dan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selama 12 tahun. Najib juga dikenakan denda RM210 juta oleh mahkamah.
Kata Mohd Puad untuk meraih sokongan pengundi, Umno boleh menjadikan logo BN sebagai poster boy kerana diyakini lebih berkesan.
Jika memang ada keputusan dibuat untuk menamakan seseorang sebagai poster boy, kata Mohd Puad, ia wajar dibatalkan kerana sudah menjadi beban kepada parti.
"Manusia bernyawa mudah difitnah jika jadi poster boy.
"Justeru, lagi baik logo BN dijadikan poster boy. Benda tak bernyawa memang sukar untuk difitnah. Lagi pun logo BN telah sebati kepada rakyat," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai