Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PKR: Kelewatan kekang 'scammer' kezaliman buat rakyat

Bimbang dengan kes scammer (penipu) yang semakin berleluasa setiap hari, Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, menyifatkan kelewatan bank dan pihak berkuasa bertindak dalam isu itu merupakan kezaliman kepada orang ramai.

Memberi contoh kes membabitkan Dr Rafidah Abdullah, yang menjadi salah seorang mangsa terkini, Lee berkata apa yang berlaku ke atas doktor pakar Hospital Putrajaya itu menunjukkan bank-bank komersial sebenarnya mengetahui banyak maklumat yang diperlukan bagi mengekang kegiatan berkenaan.

Misalnya, kata Lee, bank komersial tahu apa yang berlaku dan peralatan yang digunakan untuk memperdaya mangsa.

“Keadaan ini diizinkan kerana Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bertindak memperketatkan tahap keselamatan siber bank-bank komersil.

“Harus saya tekankan bahawa kelewatan bertindak adalah satu kezaliman kerana setiap hari, lebih ramai mangsa akan tertipu dan kehilangan wang simpanan seumur hidup mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Semalam tular kejadian membabitkan seorang pendeposit bank komersial yang kehilangan RM13,000 simpanannya. Wang itu dikeluarkan penipun tanpa sebarang amaran atau pengesahan diberi pihak bank.

Lee Chean Chung

Sementara itu Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil pula berkata sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa mewajibkan prosedur keselamatan perbankan dalam talian dirombak.

Antara aspek yang perlu diperkemas, katanya, ialah sistem pengesahan dwifaktor dan pengesahan nombor telefon antarabangsa khususnya membabitkan transaksi yang dianggap luar biasa.

Menyifatkan ia sebagai kes yang tiada berkesudahan dan gagal ditangani oleh kerajaan, Fahmi berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan akan membincangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menentang kes jenayah dalam talian di negara ini.

“Sebab kita lihat tak ada kesungguhan daripada kerajaan yang katanya nak tangani inflasi dengan tubuhkan pasukan jihad, tapi pada masa sama rakyat hilang berjuta-jura ringgit.

“Adakah tiada perkara yang diambil serius oleh para menteri?" katanya sinis.

Fahmi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai berkata, penjenayah terbabit juga seolah-olah memang sudah mengenal pasti seseorang mangsa lebih awal berdasarkan jumlah simpanan yang ada dalam sesebuah akaun.

“Pihak Aibim (Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia) dan ABM (Persatuan Bank-bank dalam Malaysia) perlu berterus terang bahawa keselamatan hari ini mudah diambil kesempatan oleh penjenayah," katanya.