Jawatan TPM: Pemimpin tertinggi akan putuskan, kata Saifuddin
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah, berpandangan isu berkaitan jawatan timbalan perdana menteri hanya boleh diputuskan pucuk pimpinan parti itu.
“(Perkara) yang itu, saya serahkan kepada keputusan pihak pimpinan utama dalam Bersatulah,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.
Dia yang juga Menteri Luar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status jawatan timbalan perdana menteri selepas Ismail Sabri Yaakob hari ini mengesahkan dia belum ada rancangan membuat sebarang pelantikan.
Ismail Sabri dalam wawancara sempena setahun dilantik sebagai perdana menteri dilaporkan Malaysiakini sebagai berkata, dalam keadaan sekarang negara seakan-akan sudah memiliki empat timbalan perdana menteri.
Dia membuat kenyataan itu dengan merujuk kepada empat menteri kanan dalam kabinet ketika ini.
Polemik mengenai jawatan TPM tercetus sejak awal Julai lalu apabila Bersatu mendakwa kerusi itu adalah milik mereka.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mendakwa perkara itu telah dipersetujui dalam satu perjanjian ditandatangani perdana menteri dengan Bersatu.
Bagaimanapun pada 11 Julai, Umno mendakwa tidak pernah wujud sebarang perjanjian antara di antara Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail Sabri berhubung jawatan timbalan perdana menteri.
Setiausaha agungnya, Ahmad Maslan berkata, Majlis Kerja Tertinggi Umno menganggap isu dibangkitkan Muhyiddin tidak pernah timbul.
Namun, bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad, mengesahkan wujud perjanjian di antara PN dengan Ismail Sabri mengenai jawatan tersebut.
“Saya ingin mengesahkan perjanjian ini wujud. Sebagai pegawai perdana menteri kelapan pada waktu itu, saya terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian ini.
“Ia ditandatangani oleh Muhyiddin dan perdana menteri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan oleh seorang menteri daripada Bersatu dan seorang menteri Umno,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Julai lalu.
Sementara itu, Saifuddin yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota ketika ditanya mengenai hubungan Bersatu - PAS di Pahang, dia yang juga Pengerusi PN Pahang berkata, persetujuan awal mengenai pembahagian kerusi sudah dicapai.
Katanya persefahaman itu juga dicapai dengan satu lagi parti komponen PN, Gerakan.
“Rundingan awal antara ketiga parti berjalan dalam keadaan mesra dan hubungan kami juga akrab.
“Formula pengagihan kerusi juga sudah dipersetujui pada asasnya, parti yang menang di kerusi dewan undangan negeri (DUN) atau parlimen pada pilihan raya umum ke-14 akan kekal (bertanding) di situ.
“Maknanya, ketika ini PN Pahang ada satu kerusi parlimen dan lapan kerusi DUN yang dimenangi PAS dalam PRU ke-14.
"PN juga akan bertanding di semua 14 kerusi parlimen dan 42 kerusi DUN Pahang dalam PRU datang,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai