Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengamal media 'sakit otak' melayan kenyataan bukan-bukan: Geramm

Melayan 'kenyataan yang bukan-bukan' adalah antara punca pengamal media menghadapi banyak tekanan, kata kumpulan aktivis media bebas, Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Geramm mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin semalam bahawa Bernama mempertimbangkan untuk "memeriksa kesihatan" wartawan penyiaran Bernama TV Sydney Yap Xi Ni yang sebelum ini mengetengahkan aduan isu pemotongan gaji dan masalah dalaman lain di cabang TV agensi berita itu.

"Melayan kenyataan yang bukan-bukan adalah antara punca pengamal media 'tertekan' sampai 'sakit otak'.

"Bukan sahaja itu, sakit perut, sakit hati, sakit kaki semuanya lumrah dalam kerjaya media, dan bukan alasan untuk meremehkan isu yang dibangkitkan, terutama melibatkan hak-hak wartawan dalam menjalankan tugas dengan selamat.

"Isu kesihatan mental juga tidak seharusnya dijadikan bahan gurauan," kata Geramm dalam kenyataannya hari ini.

Geramm berkata adalah menjadi tanggungjawab Bernama, Bernama TV dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia selaku majikan- untuk menyediakan persekitaran kerja dan sistem sokongan bagi menjaga keadaan kesihatan mental kakitangan di agensi itu.

"Perlu diingatkan, dalam menjalankan tugas, pengamal media terdedah kepada pelbagai risiko trauma, anxiety, tekanan melampau dan pelbagai faktor lain yang boleh menjejaskan kesihatan mental.

"Menjadi pengamal media untuk menyampaikan berita, tapi jangan lupa cerita kita," katanya.

Bernama pada 5 Ogos lalu mengumumkan bahawa program berita berbahasa Mandarin pada jam 6 petang hanya akan disiarkan dari Isnin hingga Jumaat.

Berikutan itu, Yap menulis penjelasan di Facebooknya, mendakwa kakitangan dibayar dengan gaji rendah, dipotong gaji serta kelewatan pengambilan kakitangan kerana karenah birokrasi.

Pihak Bernama mengeluarkan maklum balas segera dengan mengatakan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Yap atas dakwaan memfitnah.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Ariffin kemudian berkata pihaknya tidak akan mengambil tindakan terhadap Yap dan sedia berbincang mengenai perkara itu.

Roslan juga menafikan dakwaan Yap.

Yap menyangkal penafian tersebut dan menegaskan bahawa pengurusan atasan Bernama tidak responsif terhadap usahanya untuk membangkitkan isu kebajikan kakitangan.

Zahidi semalam mengulas isu tersebut dengan mengatakan kementerian itu tidak akan mengambil tindakan terhadap Yap tetapi mungkin akan "memeriksa kesihatannya".

Zahidi juga mempertahankan amalan kerajaan mengambil kakitangan secara kontrak dan meminta kakitangan Bernama supaya terus bersabar dengan gaji semasa mereka.

Sementara itu, pengarah eksekutif Pusat Wartawan Bebas (CIJ) Wathshlah Naidu berkata, seorang timbalan menteri tidak sepatutnya membuat komen "sembrono, tidak sensitif dan berpotensi memfitnah" seseorang.

Ini lebih-lebih lagi apabila individu itu, dengan niat baik, membangkitkan isu berkaitan pekerjaan dan hak pekerja, tambahnya.

Wathshlah berkata, kementerian sepatutnya menyiasat dakwaan pemotongan gaji dan isu dalaman lain yang diketengahkan Yap.

Sama seperti Geramm, dia berkata kerajaan harus memastikan persekitaran kerja yang sihat untuk pengamal media.