Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Isu LCS - Pengerusi dan bekas pengerusi PAC saling berbalah

Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menuduh pengerusi semasa mencari modal politik baru untuk Pakatan Harapan (PH) memandangkan pilihan raya umum ke-15 semakin hampir.

Dalam satu kenyataan semalam, Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed, yang adalah pengerusi PAC antara 2011 dan 2013, turut menuduh Wong tidak layak memegang jawatan itu.

Nur Jazlan berkata dirinya adalah seorang akauntan bertauliah yang "amat arif" tentang tata cara dan prosedur dalam setiap pelaporan penemuan yang dibuat oleh PAC.

“Wong tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan juga dalam korporat mahupun pengauditan bertaraf antarabangsa.

“Jadi PH menggunakan PAC yang dipengerusikan oleh YB Ipoh Timur, Wong Kah Woh bagi cari modal politik baru untuk serang Umno/BN.

“Maka sebab itulah baru timbul isu laporan kapal tempur pesisir (LCS) oleh PAC yang saya nampak lebih banyak diperisakan dengan tuduhan-tuduhan jahat berbaur politik terhadap pemimpin Umno,” katanya.

Menjawap tuduhan itu, Wong hari ini berkata dia telah berulang kali menegaskan pada masa lalu bahawa PAC adalah badan bebas dan semua laporan PAC dihasilkan berdasarkan konsensus.

“Yang duduk dalam PAC, dari kedua-dua blok Parlimen, semua satu hati, hendak memastikan wang rakyat adalah dilindungi,” kata Wong.

Mengenai dakwaan bahawa Wong sebagai peguam, tidak layak untuk mempengerusikan PAC, dia menegaskan badan yang sama di Australia, New Zealand dan UK dipengerusikan oleh anggota bukan akauntan bertauliah juga.

Wong seterusnya menjemput orang ramai untuk melawat arkib PAC sendiri untuk menilai kualiti laporan jawatankuasa yang dihasilkan semasa zamannya dan Nur Jazlan.

Mengulas tempoh Nur Jazlan sebagai pengerusi PAC, Wong berkata dia menghormati prestasi pemimpin Umno itu, terutama mengenai laporan PAC berhubung 1MDB.

“Tapi, masa prosiding PAC 1MDB masih tengah jalan, Nur Jazlan pula menerima pelantikan timbalan menteri dan terus letak jawatan pengerusi PAC pada 28 Julai 2015.

“Nur Jazlan patut mengguna kearifan beliau untuk membantu PAC pada ketika itu, habiskan laporan muktamad PAC 1MDB dahulu. Buktikanlah bahawa kamu itu berbeza!

“Lepas dilantik, diam seribu bahasa. Sekarang, pula hendak tuduh dan jatuhkan kredibiliti PAC,” kata Wong.