Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Najib tamatkan khidmat firma guaman Zaid Ibrahim

Peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa bekas perdana menteri Najib Razak telah menamatkan khidmat peguam daripada firma Zaid Ibrahim, iaitu Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners.

Namun, Hisyam tetap kekal sebagai peguam Najib.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat kemudian mengarahkan prosiding rayuan kes rasuah SRC International RM42 juta yang masuk hari keempat, untuk diteruskan.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram kemudian meneruskan penghujahan lisannya.

Zaid pernah menjadi menteri undang-undang ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.

Semalam, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib.

Permohonan itu selepas mahkamah menolak permohonannya untuk menangguhkan pendengaran rayuan anak guamnya ke tiga hingga empat bulan, agar pasukannya dapat membuat persediaan.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.