Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes SRC: Najib pegang banyak jawatan dalam melakukan jenayah di SRC

Nota editor: Pindaan telah dibuat bagi laporan yang menyatakan Hisyam enggan membuat penghujahan selepas permohonan untuk tarik diri ditolak. Pindaan dibuat untuk menunjukkan Hisyam menyatakan kepada mahkamah yang dia akan menggunakan penghujahan bertulis sebelumnya.

Selepas dua hari pendengaran, Mahkamah Persekutuan akhirnya akan mendengar rayuan terakhir bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Malaysiakini membawa laporan secara langsung pendengaran ini.


Saya dibiarkan tanpa peguam bela: Najib

4.45 petang: Najib Razak menyamakan keadaannya kini seperti tanpa peguam bela walaupun Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan peguamnya Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada perbicaraan.

Dia berkata permohonan Hisyam untuk menangguhkan perbicaraan bagi mendapatkan pembelaan yang sewajarnya juga tidak dibenarkan.

“Kini saya dibiarkan dalam keadaan tanpa peguam bela.

"Itu adalah hal yang malang dan saya tidak dapat membentangkan pembelaan saya. Saya yakin yang saya memiliki pembelaan yang berkebolehan dan Hisyam, jika diberi masa yang munasabah, pasti dapat membela saya.

"Saya berdoa untuk mendapatkan perbicaraan penuh dan keadilan," kata bekas perdana menteri itu kepada pihak media selepas perbicaraan hari ini ditangguhkan.

Bekas perdana menteri itu juga berkata haknya untuk hidup dan mendapat perbicaraan yang adil telah dipertaruhkan dan membantah sekeras-kerasnya bagaimana prosiding itu berjalan.


Prosiding mahkamah persekutuan ditangguhkan ke esok

4.37 petang: Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan hari ini, dengan timbalan pendakwa raya V Sithambaram dijangka menyambung semula penghujahan pagi esok.


Najib pegang banyak jawatan dalam melakukan jenayah di SRC

4.10 petang: Timbalan pendakwa raya, V Sithambaram berhujah bahawa Najib Razak memegang banyak jawatan bagi mencapai hasrat melakukan jenayah dalam SRC.

Pendakwa raya berhujah bahawa perayu memainkan peranan sebagai perdana menteri, menteri kewangan, pemegang saham tunggal Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan penasihat emeritus SRC.

Sithambaram berhujah bahawa ini menunjukkan Najib berniat melakukan jenayah atas pelbagai kapasiti yang membolehkan perayu melakukan tujuh kesalahan yang telah disabitkan terhadapnya.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana milik SRC, iaitu satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga tuduhan pengubahan wang haram.

SRC pada mulanya menjadi anak syarikat 1MDB sebelum menjadi milik penuh MOF Inc. MOF Inc, yang juga memiliki 1MDB.


DPP: Najib 'dalang' yang kawal 'boneka' dalam lembaga pengarah SRC

3.53 petang: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram menggambarkan Najib Razak sebagai 'dalang' yang mengawal 'boneka' dalam lembaga pengarah SRC.

Dia berkata, gambaran itu berpadanan dengan tindakan Najib pada masa itu, ketika lembaga pengarah tidak dapat mengikut rentak lain kecuali rentak Najib.

Bermula sebagai subsidiari di bawah 1MDB, SRC kemudian menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).


K'jaan jamin pinjaman RM4b walau SRC 'tiada rekod prestasi'

3.19 petang: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berkata Najib Razak terlibat dalam mendapatkan dua jaminan kerajaan untuk pinjaman yang dibuat SRC International berjumlah RM4 bilion.

Dia berkata meskipun SRC International adalah sebuah syarikat yang tiada rekod prestasi, ia masih diberi pinjaman sebanyak itu oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Antara tujuh pertuduhan jenayah terhadap Najib dalam kes ini adalah salah guna kuasa.

Dalam pertuduhan itu, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan dua jaminan kerajaan untuk KWAP memberikan dua pinjaman berjumlah RM4 bilion terhadap Najib, dan RM42 juta yang kemudiannya didakwa masuk ke akaun banknya didakwa berkaitan dengan perkara tersebut.


Peguam mahu failkan penghujahan bertulis baru

2.39 petang: Peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memfailkan penghujahan bertulis baru.

"Tadi (sebelum prosiding rehat tengah hari) ketika Yang Arif tanya jika saya akan bergantung kepada penghujahan di Mahkamah Rayuan, saya jawab ya.

"Di tahap ini, saya ingin katakan yang saya akan buat penghujahan bertulis bagi pihak perayu," katanya.

Namun dia tidak menyatakan secara khsus bila penghujahan itu akan difailkan.


2.37 petang: Perbicaraan bersambung semula.


Mahkamah Persekutuan tangguh perbicaraan

1.05 tengah hari: Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan untuk makan tengah hari dan akan disambung semula sekitar 2.30 petang ini.


Najib beritahu bekas menteri Kewangan II jangan campur tangan dalam SRC, 1MDB: DPP

12.52 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berhujah bahawa Najib Razak memberi amaran kepada menteri kewangan II Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah ketika itu supaya tidak campur tangan dalam urusan melibatkan SRC dan 1MDB.

Pendakwa raya memberitahu mahkamah persekutuan bahawa cara perayu menguruskan kedua-dua entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) itu adalah bersifat kuku besi.

DPP merujuk kepada keterangan Husni selaku saksi pendakwaan ke-56 semasa perbicaraan kes SRC di Mahkamah Tinggi.


DPP: Boleh dikatakan Najib yang urus SRC

12.31 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berkata Najib Razak selaku perdana menteri dan menteri kewangan boleh dikatakan menguruskan SRC, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

DIa berkata ia dapat dilihat menerusi tindakan Najib mengeluarkan minit SRC, antaranya berhubung peguam mana yang perlu dilantik untuk mewakili syarikat dan akaun bank mana yang perlu dibuka.

V Sithambaram

DPP: 14 cek dimasukkan ke akaun Najib

12.26 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berkata terdapat konflik kepentingan yang dilakukan Najib apabila sejumlah RM42 juta masuk ke akaunnya antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Dalam penghujahannya, dia berkata 14 cek yang dikeluarkan oleh perayu, iaitu Najib, adalah untuk manfaat peribadi, seperti membeli jam tangan mewah.

Katanya, berlaku konflik kepentingan dengan mengambil kira kedudukan Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, dengan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) adalah pemilik penuh SRC.

Najib menggunakan kuasanya untuk memastikan wang tersebut dikeluarkan dari akaun SRC dan masuk ke akaunnya.


Mahkamah tolak permohonan peguam untuk tarik diri

11.55 pagi: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili Najib Razak dalam rayuan kes SRC.

Ketua Hakim Negara Tuan Maimun juga memutuskan mahkamah ada kuasa budi bicara untuk membenarkan atau menolak permohonan tersebut, demi menjaga dan melindungi hak tertuduh.

Ketika Tengku Maimun Tuan Mat bertanya jika Hisham ingin bergantung kepada penghujahan bertulis ketika kes di peringkat Mahkamah Rayuan, dia membalas “ya”.

Tuan Maimun kemudian meminta pihak pendakwaan meneruskan penghujahan, dan Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram pun memulakan penghujahan lisannya.

Tuan Maimun Tuan Mat


11.51 pagi: Prosiding di Mahkamah Persekutuan bersambung semula.


Mahkamah berhenti sekejap untuk buat keputusan

10.08 pagi: Hakim mengarahkan perbicaraan dihentikan sekejap bagi memutuskan permohonan peguam baru Najib, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Sebelum itu, Hisyam setuju dengan penegasan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bahawa Mahkamah Persekutuan ada kuasa untuk memastikan ia boleh berfungsi secara baik dan memenuhi mandatnya.

Dia juga setuju dengan kenyataan Maimun bahawa jika dia menarik diri, ia akan menyebabkan anak guamnya, iaitu Najib, tidak diwakili.

Tengku Maimun yang jelas tidak senang dengan perkara itu mengingatkan Hisyam bahawa dia ada banyak peguam yang berkemampuan untuk mengambil alih peranannya. Namun Hisyam sekali lagi mengatakan dia ingin tarik diri.

Hisyam Teh Poh Teik

Mahkamah tolak permohonan tangguh rayuan

10.03 pagi: Mahkamah sekali lagi menolak permohonan terbaru untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama Najib pada hari ini.

Peguam baru Najib, Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Dia berkata ini kerana pihaknya perlukan lebih masa untuk membuat persediaan.


9.56 pagi: Prosiding bermula.


9.15 pagi: Semakin ramai penyokong Najib Razak tiba untuk memberi sokongan terhadapnya, yang kini dalam rayuan terakhir untuk mengetepikan tujuh sabitan jenayah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan.

Kebanyakannya memakai baju dan pengikat kepala yang memaparkan perkataan 'Bossku'.

Mereka berkumpul di perkarangan Istana Kehakiman selama kira-kira 40 minit sambil melaungkan slogan "hidup Najib" dan "hidup Bossku" sebelum bersurai.


9.40 pagi: Tiga anak Najib Razak, iaitu Norashman, Nooryana Najwa dan Mohd Nizar, dilihat berada di galeri awam menunggu pendengaran bermula.


Penyokong Najib mula berkumpul

9 pagi: Sekumpulan yang dipercayai sebagai penyokong Najib Razak, dengan kebanyakannya memakai baju putih, mula berkumpul di perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya.

Kedatangan mereka susulan undangan himpunan Enough is Enough: Justice for Najib yang mula disebarkan semalam.


Pada Isnin dan Selasa lalu, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendengar dua permohonan Najib.

Permohonan pertama untuk mengemukakan bukti baru dan permohonan kedua untuk menangguhkan rayuan utama kes SRC ke tiga atau empat bulan, bagi membolehkan pasukan pembelaan baru Najib membuat persediaan.

Namun, kedua-dua permohonan itu ditolak sebulat suara oleh panel hakim, yang Najib sifatkan sebagai mengejutkan dan sangat mengecewakan.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan dalam pendengaran ini adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pasukan pembelaan Najib - yang turut merangkumi peguam veteran Hisyam Teh Poh Teik - dijangka memberikan penghujahan pertama, sebelum disusuli penghujahan balas pendakwaan yang diketuai DPP V Sithambaram.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut menjatuhkan hukuman namun membenarkan permohonan peguam agar ia ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.

Selain bekas perdana menteri dan menteri kewangan, dia juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.